Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,663

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

FAMA Anjur Bazar Ramadan Terbesar Di Sabah

bazar

KOTA KINABALU : Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Yahya Hussin hari ini melancarkan Bazar Ramadan ke-15 anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di pasar tani di Asia City.

Dengan sejumlah 12 peserta, bazar Ramadan terbesar di negeri ini tahun ini diadakan di pusat bandar, bertujuan untuk memberi peluang kepada petani dan vendor meningkatkan pendapatan mereka.

Yahya, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata berdasarkan pemantauan oleh FAMA dan pihak berkuasa lain, harga makanan di bazar kali ini adalah berpatutan dan munasabah.

“Walaupun harga makanan agak tinggi berbanding tahun lepas berikutan peningkatan kos sara hidup, ini tidak harus menjadi beban kepada pembeli dan penjual,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran itu.

Beliau berkata sejumlah 688 operator gerai makanan menjalankan perniagaan di 17 kawasan di sekitar bandar itu sepanjang bulan Ramadan.

“Pasar tani di Asia City ini juga merupakan peluang kepada orang ramai daripada kaum lain untuk menikmati makanan dan juadah yang ditawarkan di gerai-gerai,” tambahnya.

Pada majlis itu, Yahya menyampaikan sumbangan termasuk pek makanan dan wang tunai yang disumbangkan FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang, vendor bazar dan individu, kepada kira-kira 70 penghuni Rumah Anak Kesayangan di Sembulan.

Beliau turut mengedarkan bubur lambuk kepada pengunjung di bazar itu.

Beberapa hidangan paling popular di Sabah yang dijual di bazar itu akan dipilih untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 bermula 24 Nov hingga 4 Dis ini di Serdang, Selangor.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan