Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

FAM wajar kaji punca peletakkan jawatan TMJ

Khairy Jamaluddin (tengah) dan Tawfiq Abu Bakar Titingan dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN) Tawau di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Tawau. foto Masani Sandan
Khairy Jamaluddin (tengah) dan Tawfiq Abu Bakar Titingan dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN) Tawau di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Tawau. foto Masani Sandan

TAWAU – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) wajar mengkaji dengan lebih mendalam kenyataan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengenai punca perletakkan jawatan baginda sebagai Presiden FAM.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu penting dalam mencari kesahihan kenyataan tersebut dan tidak hanya melihatnya sebagai punca perletakkan jawatan semata-mata.

“Itu keputusan peribadi yang dibuat Tunku Ismail dan saya tiada apa-apa komen, itu keputusan peribadi dan kita terima dan kita hormati, tetapi kita harus kaji kenapa perlu letak jawatan.

“Dan saya tidak pasti samada ada kebenaran berkaitan apa yang saya baca bahawa tidak ada ketelusan dalam penentuan perlawanan dan sebagainya tapi saya rasa bagus juga FAM kaji kesahihan kenyataan tersebut,’’katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN) Tawau di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Tawau yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Khairy berkata demikian sebagai mengulas isu perletakkan jawatan Tunku Ismail yang dimuat naik di laman Facebook Johor Southern Tigers yang bertitah baginda tidak mahu terlibat dalam sebuah organisasi yang menurutnya tidak adil.

Beliau menjelaskan, Tunku Ismail telah dilantik sebagai Penasihat FAM kepada Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Oktober tahun lepas itu disifatkan mempunyai nilai tambah kepada FAM.

“Walaupun kita berharap perkara itu dapat dielakkan kerana Tunku Ismail pasti ada idea yang baik dan boleh memainkan peranan, sebab itu Tengku Abdullah melantik sebagai penasihat namun demikian keputusan telah dibuat,’’ ujarnya.

Sementara itu ditanya mengenai kualiti padang bola sepak di seluruh negara, beliau menegaskan ia sememangnya masalah besar kepada kementeriannya dalam mengatasi perkara itu khasnya berkaitan isu penyelenggaraan.

Pada majlis itu pula Khairy turut mengumumkan pembinaan sebuah kolam renang berstatus olimpik di daerah ini dalam masa terdekat dengan kos dan reka bentuknya akan diumum kelak.

Pelancaran pusat satelit berkenaan adalah yang ketiga di negeri ini dan ke-16 di seluruh negara yang bertujuan memberi manfaat kepada atlet di sekitar kawasan daerah ini. – Masani Sandan / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan