Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Fakta `bendera putih’ di Tanduo perlu diperbetul: Komander Esscom

Abdul Rashis (kiri) menunjukkan kawasan pertempuran. - foto Masani Sandan
Abdul Rashis (kiri) menunjukkan kawasan pertempuran. – foto Masani Sandan

LAHAD DATU – Pihak Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) menafikan fakta `bendera putih’ kononnya menjadi penyebab insiden serangan pada 1 Mac di Tanduo dua tahun lalu yang mengorbankan anggota keselamatan VAT69.

Komander Esscom, Datuk Abd. Rashid Harun berkata, perkara itu perlu diperbetulkan kerana apa yang sebenarnya berlaku pada masa itu ialah pasukan keselamatan telah bertindak mempertahankan diri selepas pengganas Sulu terlebih dahulu melakukan serangan.

“Fakta atau cerita mengenai `bendera putih’ itu tidak ada dan bukan kita yang memulakan serangan tetapi penganas Sulu terlebih dahulu melepaskan tembakan selepas terserempak dan melihat anggota kita,” katanya kepada pemberita dalam Program Lawatan Esscom Bersama Media di Tanduo di sini semalam. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Esscom, Ruji Ubi.

Menurutnya, fakta itu perlu diperbetulkan kerana ia memberi kesan bukan sahaja kepada anggota yang terlibat ketika insiden tetapi juga kepada seluruh pasukan keselamatan VAT69, seolah-olah memperlihatkan kelemahan pasukan keselamatan negara tidak menggunakan taktikal ketika menghadapi situasi genting itu.

Kata beliau lagi, setiap pasukan keselamatan mempunyai taktikal-taktikal sendiri dan bukan sesuka hati seperti yang diceritakan, tidak kiralah sama ada pasukan elit atau tidak.

Menurutnya, ketika kejadian anggota sedang melakukan tinjauan sebelum diserang dan ditembak oleh pengganas Sulu yang berkemungkinan memikirkan kelibat anggota keselamatan ketika itu dalam bilangan kecil.

“Pengganas pada ketika itu mungkin menyangka anggota keselamatan kita hanya kelompok sedikit sedangkan ketika itu anggota telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dengan turut menempatkan penembak tepat di beberapa kawasan. Dua anggota yang terkorban berada di bahagian hadapan ketika itu dan kita perlu berpegang kepada fakta ini dan memperbetulkan cerita sebenar,” ujarnya.

Sebelum ini, hangat diperkatakan mengenai insiden penganas Sulu `membuat helah’ dengan mengibarkan `Bendera Putih’ tanda menyerah diri, menjadi punca dua anggota pasukan keselamatan terkorban setelah pergi ke kawasan penganas untuk menyambut mereka sebelum kedua-duanya ditembak.

Abd Rashid juga menjelaskan, ketika kejadian pasukan keselamatan juga  telah menggunakan semua aset sama ada dari laut, udara dan darat, dan bukannya seperti cerita menyatakan bahawa hanya aset laut dan darat sahaja.

Katanya, fakta sebenar mengenai insiden itu secara keseluruhan juga telah ditaklimatkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam satu pertemuan.

Dalam kejadian pada 1 Mac dua tahun lepas, bumi Tanduo, Lahad Datu bermandi darah apabila sekumpulan penceroboh dari Selatan Filipina melepaskan tembakan mengenai tubuh anggota VAT69 yang berjuang memburu pengganas yang mendakwa daripada kesultanan Sulu.

Insiden pencerobohan kumpulan pengganas itu menyaksikan dua anggota terkorban iaitu allahyarham Asisten Superitendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabarudin Daud dan tiga lagi anggota cedera dan seramai 68 anggota pengganas berkenaan berjaya dibunuh dalam pertempuran tersebut. – oleh Masani Sandan / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan