Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,998

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Faiz dinobat pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016

8:15am 10/01/2017 Pak Roshan 279 views Berita Pilihan,Mutakhir,Sukan

MOHD Faiz Subri memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016. – Foto REUTERS

KUALA LUMPUR: Penyerang sensasi Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri melakar sejarah bola sepak negara dan Asia selepas dinobatkan selaku pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, sebentar tadi.

Jaringan ajaib berpunca daripada sepakan percuma yang melencong seperti ‘banana kick’ disifatkan ‘melanggar hukum fizik’ itu membolehkan penyerang berusia 30 tahun itu meraih anugerah jaringan terbaik itu pada Malam Anugerah FIFA di Zurich, Switzerland.

Anugerah terbabit disampaikan legenda bola sepak Brazil, Ronaldo sekali gus menyaksikan kemenangan ini meletakkan Mohd Faiz sebaris dengan pemain ternama yang pernah merangkul anugerah terbabit seperti Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez.

Kemenangan ini juga menyaksikan bapa kepada dua cahaya mata itu mengecewakan hasrat bumi Amerika Selatan apabila mengetepikan dua pencabarnya, Marlone dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez.

Keputusan itu sememangnya sudah dijangka terutama selepas melihat sokongan padu daripada penyokong bola sepak dunia yang terbukti selepas video jaringannya di laman Youtube FIFA kekal mendahului saingan sehingga hari terakhir pengundian.

Jaringannya itu juga dianggap terlalu istimewa dan ajaib apabila sukar untuk dihasilkan semula berbanding dua jaringan pencabarnya yang dilihat kerap kali dilakukan oleh pemain bola sepak profesional sebelum ini.

Anak kelahiran Air Hitam, Kedah itu melakukan jaringan yang menggegar dunia bola sepak antarabangsa itu ketika aksi Liga Super bertemu Pahang di Stadium Bandaraya, Februari tahun lalu.

Selain muncul selaku pemain Asia pertama yang mara ke peringkat itu, Mohd Faiz turut mencipta kejutan apabila menewaskan jaringan yang dilakukan beberapa bintang ternama termasuk duo penggempur Barcelona, Lionel Messi serta Neymar.

Senarai pemenang Anugerah Puskas FIFA

2009: Cristiano Ronaldo

2010: Hamit Altintop

2011: Neymar

2012: Miroslav Stoch

2013: Zlatan Ibrahimovic

2014: James Rodriguez

2015: Wendell Lira

  • BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan