Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Fahami hak, peranan sebagai pengguna – Dr Wan Azizah

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tiga, kiri) menyempurnakan pelancaran Program Food Bank Malaysia sempena Program Memperkasa Komuniti Pengguna sempena Sambutan Hari Malaysia 2018 di Dewan SM Ken Hwa Keningau hari ini.-Gambar Bernama

KENINGAU, 17 Sept (Bernama) – Rakyat perlu berusaha memahami hak dan peranan mereka sebagai pengguna bagi mengelak daripada menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata sekiranya mereka memahami hak dan peranan sebagai pengguna, mereka akan berupaya memainkan peranan sebagai penentu harga barangan di pasaran.

“Ini boleh dilakukan sekiranya setiap kita bijak dalam merancang dan mengawal perbelanjaan kita. Berbelanjalah dengan bijak dan membeli apa yang perlu sahaja dan buatlah perbandingan harga di premis-premis sebelum melakukan sebarang pembelian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Memperkasa Komuniti Pengguna bersempena Sambutan Hari Malaysia 2018 di sini hari ini. Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Christina Liew dan Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Jamil Salleh.

Menurut Dr Wan Azizah, pengguna juga perlu memainkan peranan mereka sebagai mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan maklumat berkaitan salah laku peniaga.

Katanya pengguna boleh menyampaikan aduan melalui pelbagai saluran yang disediakan KPDNHEP termasuk aplikasi WhatsApp.

“Begitu mudah, hanya ambil gambar, taipkan maklumat premis, dan hantar sahaja melalui WhatsApp Kementerian (019-2794317). Saya diberi jaminan oleh KPDNHEP bahawa tindakan ke atas setiap aduan akan diambil dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Menurutnya pengguna perlulah membantu kerajaan menerusi penyaluran maklumat ke saluran yang telah ditetapkan memandangkan bilangan pegawai di KPDNHEP adalah terhad.

—BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan