Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,823

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Fahami dan dekati golongan belia-Tawfiq

KOTA KINABALU: Golongan belia perlu didekati dan difahami, ditambah lagi dengan situasi belia di negara ini yang berdepan dengan cabaran merangkumi cabaran ekonomi, sosial, teknologi termasuk cabaran politik dan perlu diterajui dan diuruskan dengan sebaik mungkin.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Haji Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, kementerian beliau terus komited menerajui dan meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan generasi muda menerusi konsep ‘Dari Belia Untuk Belia’ dan ‘The Future is Now.’

“Bajet peruntukan khas berjumlah RM10 juta adalah merupakan sentuhan pembangunan belia dan kecemerlangan sukan melibatkan 682 Persatuan Belia dan Sukan dan kumpulan sasar seramai 798,400 belia bagi meningkatkan kapasiti dan potensi belia supaya dapat menikmati kemajuan dan kemakmuran,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan ketika Persidangan DUN ke-14 Negeri Sabah, hari ini.

Beliau juga turut menyeru dengan bertunjangkan Konsep Rentas Pelaksana, semua kementerian, jabatan, agensi negeri dan kerajaan agar bersama-sama secara bersepadu untuk melaksanakan program berpaksikan 12 domain dan 55 indikator supaya tahap kualiti hidup dan kesejahteraan belia di seluruh Negeri Sabah khasnya melibatkan DUN masing-masing dapat dipertingkatkan.

“Pada tahun 2015, secara keseluruhannya tahap kesejahteraan hidup belia di negeri ini berada pada tahap sederhana dengan nilai skor 68.68 manakala nilai skor Negara juga berada pada tahap sederhana iaitu 70.22,”katanya.

Tambah beliau, pencapaian kontinjen Negeri Sabah sempena Sukan Malaysia (SUKMA), Sukan Paralimpiad dan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) Sarawak 2016 juga amat memberangsangkan dari segi kedudukan dan prestasi  kutipan pingat.

“Kontinjen Negeri Sabah masing-masing berada di kedudukan ke-7 pada SUKMA 2016 berbanding ke-9 pada tahun 2014, tempat ke-4 sempena sukan Paralimpiad dan tempat ke-2 SOPMA Sarawak 2016,”katanya.-Oleh Leolerry Lajius/Sayang Sabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan