Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Ewon komited perkasa Program Edu-Tourism di Kadamaian

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Ewon Benedick komited memperkasakan pelancongan berasaskan pendidikan atau Edu-Tourism di Kadamaian melalui sokongan kementerian itu.

Beliau berkata usaha membangunkan sektor pelancongan luar bandar akan dimulakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian termasuk memberi sokongan berteruskan kepada Edu-Tourism yang telahpun dilaksanakan di SK Sayap.

“Program Edu-Tourism SK Sayap, saya rasmikan pada tahun 2016 iaitu sebelum menjadi Wakil Rakyat dan sejak itu saya konsisten mencari inisiatif membantu sekolah ini.

“Pada hari ini, saya komited untuk terus memperkasakan program seumpama ini melalui sumbangan dan peranan KPLB termasuk memperkenalkan program baru berkonsepkan Mini Estet (Kampung) Sejahtera (MESEJ) pelancongan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Induk Edu-Tourism SK Sayap yang diketuai oleh Penyelaras program itu, Boniface Jiran.

Turut serta dalam kunjungan itu Pengerusi Jawatankuasa Induk Pelancongan Kampung Sayap Kota Belud, Ezra Sadok dan Ketua Kampung Kg.Sayap Jefrin Kudanding.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, beliau akan mengumumkan nama program baru yang akan dilaksanakan di Kampung Sayap selepas mendengar input-input daripada masyarakat akar umbi kampung itu.

Beliau berkata, Kampung Sayap telah dikenalpasti menjadi pilot projek bagi program itu dan akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Sabah melalui Lembaga Pelancongan Sabah (STB).

“KPLB akan bekerjasama dengan kementerian itu untuk memastikan program baharu KPLB dilaksanakan dengan cemerlang,” katanya.

Ewon turut berbangga dengan perkembangan Program Edu-Tourism SK Sayap yang kini menjana sumber pendapatan tambahan kepada tabung sekolah itu melalui pungutan bayaran masuk para pelancong yang berkunjung ke Taman Edu-Tourism SK Sayap.

“Antara yang menarik di Taman Edu-Tourism sekolah itu ialah pondok tradisi terbalik. Saya ingin melihat lebih banyak sekolah mencetuskan idea seumpama ini, iaitu dapat mencari aktiviti yang memberi pulangan ekonomi kepada tabung sekolah,” katanya.

Katanya lagi, sebagai tanda sokongan berterusan, beliau akan melawat Kg Sayap pada 23 Jun ini untuk mendapatkan lebih banyak input daripada komuniti mengenai aspirasi bersama bagi memajukan sektor pelancongan luar bandar.

Sementara itu Boniface berkata, program pelancongan berasaskan pendidikan di SK Sayap adalah antara produk pelancongan di bawah Pelancongan Kampung Sayap kendalian Jawatankuasa Induk Pelancongan kampung itu.

“Saya mengalu-alukan usaha KPLB memperkenalkan program Mesej Pelancongan Luar Bandar dan saya yakin melalui program ini, Edu-Tourism SK Sayap akan terus diperkasakan lagi.

“Saya melihat perkembangan positif dalam industri pelancongan luar bandar di negeri ini akan membawa kemajuan dari sudut lain seperti jalan raya kampung,” katanya dan menambah penaiktarafan jalan-jalan kampung luar bandar akan membawa perubahan besar kepada industri pelancongan luar bandar.

Beliau berkata antara manfaat yang diperolehi daripada pelaksanaan Edu-Tourism ialah pencapaian akademik murid-murid sekolah semakin meningkat.

“Apa yang membanggakan kami selepas program ini dilancarkan ialah berjaya mencapai ‘Sifar Linus’. Murid-murid boleh membaca, menulis, mengira dan menakul.

“Selain itu, ia juga dapat meningkatkan motivasi dan keyakinan murid sekolah berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris, kerana ramai pelancong luar negara seperti Jepun dan England berkunjung ke SK Sayap,” katanya./SayangSabah

Ewon (tengah) menerima kunjungan daripada Edu Tourism SK Sayap.

Komen


Berita Berkaitan