Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

EUGENIUS LO RAIH EMAS KEEMPAT PERIBADI ACARA MEMANAH SUKMA

SERI ISKANDAR, 19 Sept (Bernama) — Atlet Sabah, Eugenius Lo Foh Soon sekali lagi menyinar di lapangan memanah selepas menambah koleksi pingat emas bagi acara memanah compound pusingan olimpik individu lelaki pada kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 Perak.

Eugenius meraih emas keempat peribadi selepas menewaskan pencabarnya dari Pulau Pinang, M. Khambeswaran dengan 145-144 pada saingan akhir di Universiti Teknologi Petronas di sini, hari ini.

Pingat gangsa menjadi milik Mohamad Syafiq Md Ariffin dari Terengganu yang mengalahkan rakan sepasukan Mohamad Saiful Adli Mat Zin dengan 143-140.

Sebelum ini, Eugenius meraih tiga pingat emas termasuk menyamai satu rekod kebangsaan menerusi acara 30 meter compound individu lelaki.

Beliau sememangnya tidak menyangka dapat menggenggam empat pingat emas pada temasya Sukma kali ini dan menganggap ia adalah hasil kerja keras dirinya sejak menceburi sukan tersebut ketika berumur 12 tahun.

“Saya pernah menyertai Sukma 2016 dan boleh dikatakan saya menggunakan pengalaman ketika itu untuk membuat yang terbaik pada kejohanan kali ini.

“Saya mahu menambah lagi emas menerusi acara memanah berpasukan selepas ini dan terus mengharumkan nama negeri Sabah,” kata pemuda berketurunan Sino dari Kota Kinabalu itu kepada Bernama.

Setakat ini kontinjen Sabah mengumpul empat pingat emas dan satu pingat perak dalam acara memanah.

Dalam kategori wanita pula, pemanah Perak, Fatin Syazlin Mohd Sham berjaya menggembirakan kontinjen tuan rumah selepas mengalahkan pemanah dari Johor, Nuraqilah Khairul dengan 143-141 pada saingan akhir manakala pingat gangsa pula milik atlet Sarawak , Esther Yong Yin Ze yang menewaskan rakan sepasukan Kho Ye Ting, 138-133.

“Pada awalnya, memang saya tidak yakin dan tidak meletakkan harapan tinggi memenangi pingat emas kerana banyak lagi atlet yang lebih berpengalaman dan mempamerkan aksi hebat semasa pusingan sebelum ini.

“Alhamdulillah, kejayaan kali ini adalah untuk ibu bapa saya dan juga jurulatih yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan dorongan untuk memberi semangat kepada saya agar lakukan yang terbaik,” kata atlet berusia 19 tahun itu yang sedang mengikuti program pendidikan awal kanak-kanak di Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim.

Menurut Fatin Syazni yang pertama kali menyertai Sukma, beliau terpaksa menangguhkan satu semester pengajian pada awal tahun lalu bagi memberi perhatian penuh terhadap latihan sebagai persiapan ke Sukma.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan