Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

ESSZone: Zahid, Musa Aman Pengerusi Mesyuarat

KOTA KINABALU – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman hari ini buat julung kalinya mempengerusikan secara bersama Mesyuarat Lembaga Penasihat Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) di sini hari ini.

Mesyuarat yang diadakan di Sri Gaya, iaitu kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di sini, disertai anggota Lembaga Penasihat ESSZone terdiri daripada Ketua Pengarah Keselamatan Negara Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar.

Lembaga Penasihat ESSZone itu turut dianggotai Ketua Pengarah Imigresen Malaysia; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.

Menurut kenyataan di sini, pada mesyuarat pertama itu, sebanyak empat kertas dibentangkan dan dibincangkan yang mana Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCom Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan dan Ketua Eksekutif Institut Keselamatan Awam Malaysia (Ipsom) Datuk Lee Bee Pang telah memberikan taklimat mengenai tahap keselamatan dan tindakan awam yang dilaksanakan di ESSZone.

Secara keseluruhan, situasi keselamatan di ESSZone pada masa ini adalah selamat dan terkawal, kata kenyataan itu lagi.

Lembaga Penasihat ESSZone yang diurus setia oleh Majlis Keselamatan di Jabatan Perdana Menteri, diwujudkan semasa Mesyuarat Sidang Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Jan lepas bagi memantapkan lagi mekanisme sedia ada.

Antara terma rujukan lembaga penasihat itu adalah menasihati Jawatankuasa ESSZone, yang dipengerusikan Ketua Menteri Sabah mengenai langkah-langkah memantap dan mengukuhkan keselamatan dan ketenteraman awam di ESSZone.

Lembaga penasihat itu juga berperanan untuk menasihati jawatankuasa berkenaan mengenai langkah-langkah meningkatkan kerjasama antara kementerian, jabatan dan agensi di peringkat persekutuan dan negeri dalam melaksanakan operasi dan tindakan-tindakan awam di ESSZone.

Lembaga itu juga boleh mengemukakan cadangan dan syor kepada Jawatankuasa Pemantauan, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, mengenai langkah-langkah tambahan dalam meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam di ESSZone.

“Penubuhan Lembaga Penasihat ini akan dapat memantapkan lagi pengurusan keselamatan di ESSZone yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi di peringkat persekutuan dan negeri.

“Ini bagi memastikan ancaman-ancaman keselamatan seperti penculikan untuk tebusan, penyeludupan, kemasukan pendatang asing tanpa izin dan cubaan kali kedua pencerobohan pengganas Tentera Kesultanan Sulu dapat dicegah dan ditangani sewajarnya,” kata kenyataan itu.

Rakyat di Sabah, khususnya di Sabah timur juga diminta supaya melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara dan sentiasa peka dan prihatin mengenai ancaman tersebut dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada ESSCom dalam menyalurkan maklumat mengenai sebarang ancaman. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan