Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,669

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Esszone Selamat Dan Terkawal – Najib

2:29pm 30/03/2016 Pak Roshan 179 views Mutakhir,Nasional

esszone2-600x367

KUALA LUMPUR – Pasukan keselamatan sentiasa berwaspada terhadap sebarang ancaman di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) walaupun kawasan itu terkawal ketika ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pasukan keselamatan menerusi agensi terlibat seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersedia menghadapi sebarang kemungkinan ancaman termasuk maklumat tentang cubaan penculikan.

“Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) sentiasa bertekad untuk menyifarkan sebarang pencerobohan dan penculikan daripada berlaku, namun demikian ancaman seperti ‘kidnap for ransom’ masih boleh berlaku jika kita kurang berwaspada,” katanya ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Raimee Unggi (BN-Tenom) yang mahu Perdana Menteri menyatakan tahap keselamatan termasuk prasarana anggota keselamatan bagi seluruh Esszone walaupun tiga tahun sudah berlalu sejak peristiwa pencerobohan kumpulan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Najib berkata semenjak penculikan terakhir pada 14 Mei tahun lalu, Esscom mampu menyekat beberapa cubaan penculikan dengan prasarana dan kemampuan semasa.

Beliau berkata pelbagai inisiatif dalam mengukuhkan keselamatan Esszone telah dan sedang diambil termasuk mengukuhkan pos keselamatan di pulau-pulau yang mempunyai resort dengan peningkatan trup dan kelengkapan serta meningkatkan kehadiran vesel sepanjang perairan Esszone kepada purata 85 buah sehari berbanding 39 sehari sebelum ini.

Najib berkata langkah lain termasuk mengoptimumkan penggunaan teknologi pengawasan (Unmanned Aerial Vehicle (UAV), pesawat dan radar) dalam melengkapi pengoperasian maritim serta meningkatkan operasi penguatkuasaan di laut dan di darat setiap hari di kawasan dan laluan berisiko tinggi.

Selain itu, katanya pasukan keselamatan juga meningkatkan dan mengumpul maklumat secara domestik dan merentas sempadan serta melakukan pendekatan dengan komuniti melalui dua program iaitu Gerak Saraf Perang Saraf (GSPS) dan Esscom bersama masyarakat.

“Semua inisiatif ini adalah dinamik di mana perancangan dan pelaksanaan kawalan, penugasan dan operasi sentiasa disemak-suai dari semasa ke semasa,” katanya.

Najib berkata sepanjang tiga tahun lepas, Esscom telah membaik pulih dan menaik taraf 35 pos pasukan keselamatan di sepanjang Esszone di samping pembinaan prasarana bagi penempatan dua batalion iaitu Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Tentera Darat (TDM).

Najib yang juga anggota Parlimen Pekan berkata Esscom juga telah membangunkan Esscom Fusion Centre yang mana Fasa 2 dan Fasa 3 akan menyusul dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

Katanya kerajaan juga telah memberikan peruntukan bagi meningkatkan keupayaan sistem radar pengawasan serta perolehan 92 buah bot pelbagai jenis bagi melengkapkan kelompongan yang wujud di sepanjang Esszone.

“Prasarana semasa walaupun serba kekurangan tetapi tidak menjejaskan operasi, namun penambahbaikan sedang disusuli mampu meningkatkan keberkesanan operasi di ESSZone,” katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan