Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,765

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Esscom Siap Siaga Hadapi Kemungkinan Selepas Filipina Komited Hapus Abu Sayyaf

6:53pm 03/09/2016 Pak Roshan 5788 views Berita Pilihan,Mutakhir,Tawau,Tempatan

esscom kursus

TAWAU : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku berikutan pengumuman kerajaan Filipina menghapuskan kumpulan pengganas Abu Sayyaf di kepulauan selatan negara itu secara besar-besaran.

Komander Esscom, DCP Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata walaupun Sabah tidak terkesan dengan usaha kerajaan Filipina itu namun semua anggota sentiasa diingatkan agar bersedia berhadapan kemungkinan seperti kemasukan pihak buruan Filipina yang melarikan diri ke Sabah.

“Kita mengalu-alukan tindakan yang diambil oleh kerajaan Filipina… Dalam konteks ini walaupun tindakan itu dari pihak sana, tetapi kita tengok persiapan sendiri untuk menghadapi kemungkinan seperti masyarakat setempat di wilayah selatan itu yang mungkin melarikan diri dan datang ke tempat kita (Sabah), atau pihak buruan (anggota Abu Sayyaf) melarikan diri ke Sabah,” katanya kepada Bernama di sini, hari Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai usaha komited kerajaan Filipina untuk menghapuskan kumpulan pengganas Abu Sayyaf di negara itu.

Wan Abdul Bari berkata pihaknya maklum dan mengikuti perkembangan mengenai perkara tersebut dan operasi harian untuk memantau persekitaran perairan negara sedang dan akan terus dijalankan sama ada di laut atau darat di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

“Di laut kita arah anggota dan aset untuk memantau pergerakan mencurigakan seperti aktiviti penyeludupan mahupun kemungkinan serangan rentas sempadan.

“Di darat kita membuat operasi dalam tiga hingga empat hari operasi seminggu sekiranya ada yang sudah mendarat (memasuki Sabah), kerana kita juga tahu dari segi latar belakang sesetengah itu mungkin ada pertalian keluarga dengan penduduk di negeri ini,” katanya.

Esszone meliputi kawasan sepanjang 1,733.7 kilometer (km) dan keluasannya sekitar 100,000km persegi melibatkan 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Sementara itu, katanya anggota keselamatan yang ditempatkan untuk memantau kawasan di Esszone pada ketika ini sudah mencukupi dan mampu mengawal sempadan daripada dicerobohi.

“Selain Esscom, kita juga ada anggota dari agensi pasukan keselamatan lain dan setakat ini kita tidak perlu penambahan anggota memadai dengan yang ada sekarang,” katanya lagi.

Semalam, Philippine Daily Inquirer melaporkan bilangan tentera Filipina yang memburu Abu Sayyaf di wilayah selatan Kepulauan Sulu dijangka meningkat kepada kira-kira 9,000 minggu depan, ketika kumpulan yang menculik untuk wang tebusan itu sedang bersedia untuk ‘jihad’.

Jurucakap Ketua Angkatan Tentera Filipina Brig Jen Restituto Padilla berkata penempatan tentera itu adalah tumpuan terbesar mereka dalam satu kawasan selepas 15 tentera dibunuh oleh Abu Sayyaf dalam pertempuran di Jolo minggu ini.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan