Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,702

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

ESSCom, Renjer Taman Kinabalu Antara Empat Penerima Anugerah Khas Menteri

4:41pm 22/11/2015 Pak Roshan 27 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan,YB Datuk Haji Masidi Manjun

masidi

KOTA KINABALU : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan renjer Taman Kinabalu adalah antara empat penerima Anugerah Khas Menteri pada Anugerah Pelancongan Sabah 2015 di sini Sabtu malam.

Penerima lain bagi anugerah itu yang disampaikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun ialah syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia dan jurupandu arah Taman Kinabalu yang terlibat dalam operasi menyelamat semasa gempa bumi Ranau, Jun lalu.

Anugerah Pelancongan Sabah, yang dianjurkan Lembaga Pelancongan Sabah dan Sri Pelancongan Sabah, diadakan setiap dua tahun untuk mengiktiraf sumbangan individu dan organisasi dalam industri pelancongan.

Masidi dalam ucapannya memuji renjer dan jurupandu arah Taman Kinabalu atas keberanian dan usaha menyelamat mereka semasa gempa bumi Ranau pada tahun ini terutamanya renjer kanan taman itu Martin Moguring, Gregory Duanis dan Mithun Jay Langgim.

“Jurupandu arah gunung dan renjer kita adalah beberapa orang yang paling berani di kawasan ini. Mereka bukan sahaja rajin tetapi mampu menyumbang bakti dalam masa yang diperlukan semasa krisis gempa bumi Ranau,” katanya.

Masidi mengucapkan terima kasih kepada ESSCOM atas usaha mereka dalam mempertahankan, menguatkuasa dan meningkatkan keselamatan maritim di pantai timur Sabah untuk menghalang aktiviti pengganas di perairan Malaysia.

Beliau juga memuji AirAsia, yang juga dipilih sebagai syarikat terbaik pada majlis malam tadi kerana dapat meningkatkan ketibaan pelawat ke negeri ini dan membangunkan peluang perniagaan.

“AirAsia akan melancarkan penerbangan harian terus dari Wuhan, Wilayah Hubei China ke Kota Kinabalu tidak lama lagi berikutan pemeteraian memorandum persefahaman bagi mewujudkan hubungan persahabatan antara kedua-dua bandar pada Mei lalu,” katanya.

Masidi menggesa sektor pelancongan untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan dalam menghadapi cabaran pada tahun-tahun akan datang dengan menganggap masalah sebagai peluang.

“Apa yang kita perlukan adalah kreativiti dan inovasi dalam memperkenalkan dan menjenamakan semula produk dan perkhidmatan – kita perlu menjadikan Sabah menonjol sebagai destinasi pelancongan unik yang menawarkan pengalaman yang tidak dapat diperoleh di tempat-tempat lain untuk menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Seramai 31 lagi pemenang dalam 12 kategori lain juga turut menerima anugerah masing-masing.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan