Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

ESSCOM relevan, tangkis ancaman keselamatan negara – Bekas Komander

Bekas Komander ESSCOM, Datuk Abd Rashid Harun

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) — Kewujudan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sejak empat tahun lepas kini semakin relevan dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara, kata bekas Komandernya Datuk Abd Rashid Harun.

Beliau berkata kesiapsiagaan ESSCom menghadapi pelbagai cabaran diterjemahkan pasukan keselamatan menerusi kejayaan menangkis insiden penculikan dan pencerobohan di sekitar kawasan operasi.

“ESSCom kini semakin rapat dan teratur dalam pergerakan secara koordinasi tiga pasukan – Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di kawasan perairan Sabah.

“Dahulunya agensi keselamatan dan pertahanan bergerak secara silo, kecil, tidak tersusun tapi kini seperti adik-beradik dan mampu patahkan pelbagai insiden di bawah satu bumbung (ESSCom),” katanya kepada Bernama dalam temu bual khas bersempena ulang tahun ke-4 penubuhan ESSCom esok.

Bekas Pesuruhjaya Polis Sabah itu juga menegaskan isu keselamatan perlu ditangani secara holistik selain tidak harus dibebankan kepada pasukan keselamatan sahaja.

“Jabatan Imigresen; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Jabatan Pendidikan; Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan juga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia perlu sama-sama berganding bahu dan memainkan peranan.

“Tidak adil meletakkan masalah keselamatan di bawah agensi keselamatan dan pertahanan sahaja. Kerjasama perlu diteruskan demi kedaulatan negara. Lupakan doktrin, birokrasi, prosedur operasi standard. Itu semua boleh dimudah cara bagi memudahkan kita bekerjasama dengan masyarakat,” katanya.

Menyentuh mengenai kerjasama masyarakat pula, Abd Rashid berkata banyak episod kejayaan mematahkan cubaan menculik dan pencerobohan terhasil daripada maklumat yang diberikan komuniti setempat.

Katanya penyaluran maklumat yang cepat kepada pasukan keselamatan membolehkan tindakan pantas diambil, sekali gus meminimumkan peluang pihak berkenaan melakukan jenayah.

“Oleh kerana itu, kejayaan demi kejayaan dapat dilihat. Apabila kita faham budaya mereka dan terangkan kepentingan isu keselamatan, tugas kita semakin mudah,” katanya yang turut mendedahkan ESSCom berjaya mengelakkan dan mematahkan 11 insiden sepanjang tempoh beliau berkhidmat dari 12 April 2013 hingga 23 Dis 2015.

Abd Rashid berkata kerjasama antarabangsa dengan pasukan keselamatan Filipina turut membantu memahat ESSCom di hati masyarakat melalui dialog, kunjungan hormat dan perjumpaan kedua-dua pihak selama ini.

Beliau berkata isu keselamatan di perairan Sabah dan antarabangsa turut menjadi kebimbangan Filipina yang mahukan perkara itu ditangani sebaik mungkin dalam konteks jangka panjang.

ESSCom merupakan pihak keselamatan yang diselaraskan bagi mengawal keselamatan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang merangkumi 10 daerah iaitu Kudat, Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Kawalan keselamatan itu merangkumi kawasan pantai sepanjang lebih 1,700 kilometer.

Penubuhan ESSCom dan ESSZone diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mac 2013 susulan pencerobohan kumpulan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013 yang menyaksikan 10 anggota keselamatan negara terkorban manakala 68 pengganas ditembak mati.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan