Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

ESSCom Minta Penduduk Pulau Banggi Lapor Kehadiran PATI

esscom-21

KUDAT – Penduduk Pulau Banggi di sini diingatkan supaya melaporkan kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) atau orang yang mencurigakan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil demi kebaikan semua.

Timbalan Pengarah Perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) ACP Hashim Justin berkata mereka perlu sentiasa berwaspada bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya jenayah rentas sempadan di pulau itu.

Beliau berkata meskipun Pulau Banggi terletak jauh dari kawasan perairan pantai timur yang kerap terdedah dengan kes jenayah rentas sempadan, penjenayah sentiasa mencari peluang.

“Jangan kita leka dengan keadaan tenang dan aman yang dinikmati sekarang. Lapor segera kehadiran pendatang tanpa izin atau orang yang mencurigakan,” katanya ketika menyampaikan taklimat keselamatan bersempena Program Kesedaran Pendaftaran Kelahiran Untuk Ketua-Ketua Komuniti di Karakit, Pulau Banggi, Jumaat malam.

Beliau memberikan contoh kejadian penculikan di Restoran Ocean King di Sandakan pada Mei lepas dipercayai didalangi Pati yang telah lama berada di Sabah.

Dalam pada itu, Hashim turut mengingatkan pemimpin komuniti di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) supaya bersikap jujur dalam mengesahkan identiti pemohon dokumen pengenalan diri iaitu MyKad.

Katanya ini penting memandangkan terdapat aduan yang diterima sebelum ini yang mengaitkan pemimpin komuniti, khususnya ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dengan amalan salah laku berhubung urusan pengesahan dokumen sokongan untuk memperoleh MyKad.

Katanya perbuatan seumpama itu adalah salah di sisi undang-undang dan menggadai kedaulatan negara.

ESSCom diwujudkan pada 1 April 2013 selepas berlakunya insiden pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu awal tahun yang sama.

ESSZone merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau. Daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan