Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,654

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

ESSCom Lebih Giat Banteras Jenayah Rentas Sempadan

12:22pm 21/02/2016 Pak Roshan 258 views Mutakhir,Tawau,Tempatan

esscom

TAWAU : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) tidak pernah berdiam diri, sebaliknya lebih giat meneruskan agenda dan usaha untuk membanteras jenayah rentas sempadan.

Komandernya Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata ketiadaan laporan mengenai ESSCom sejak akhir-akhir ini, bukan bermaksud agensi itu tidak melakukan apa-apa, sebaliknya ia merangka mekanisme, meneruskan operasi dan memperkukuhkan kerjasama antara pasukan Op Gasak dan Op Bersepadu.

“Senyap itu maknanya keadaan keselamatan terkawal, ESSCom sentiasa komited dan merangka beberapa strategi bagi memastikan keselamatan dan keharmonian di Kawasan Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZONE) sentiasa terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pertemuan ESSCom Bersama Pemimpin Masyarakat Kampung Inderasabah di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ESSCom Noor Alam Khan A. Wahid Khan.

Wan Abdul Bari berkata ESSCom sebagai entiti menyelaras kawalan keselamatan di ESSZONE, akan berusaha mengatasi masalah penyeludupan, penculikan dan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi pelbagai mekanisme.

Beliau berkata pihaknya akan terus menambah baik pelbagai perkara termasuk penguatkuasaan perintah berkurung kerana menyedari kes penculikan, penyeludupan dan pencerobohan adalah masalah yang sering dihadapi di Pantai Timur Sabah.

Sehubungan itu, Wan Abdul Bari meminta masyarakat khasnya di ESSZONE memberi kepercayaan penuh kepada ESSCom dalam memastikan keselamatan sentiasa terkawal dengan melaporkan maklumat yang dilihat boleh mendatangkan ancaman.

Sepanjang 2015, katanya seramai 129,439 orang diperiksa dalam operasi dijalankan ESSCom bersama agensi lain termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen dan pejabat daerah.

Daripada jumlah itu, seramai 9,610 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan, katanya.

Wan Abdul Bari juga mengingatkan masyarakat agar tidak mudah terpengaruh serta percaya dengan khabar angin yang tersebar melalui media sosial, sebaliknya mendapatkan berita yang sahih daripada pihak berkuasa.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan