Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

ESSCOM lancar Operasi Bersepadu buru PATI di Tawau, Semporna

esscom

TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan melancarkan Operasi Bersepadu Khas bagi mengesan dan menangkap pendatang tanpa izin (PATI) di daerah Tawau dan Semporna dalam masa terdekat.

Komander ESSCOM, Datuk Abdul Rashid Harun, berkata operasi yang disertai pelbagai agensi negeri dan Persekutuan itu akan dilaksanakan dalam skala yang besar bagi memburu saki baki PATI, termasuk mereka yang melakukan pelbagai aktiviti menyalahi undang-undang negara seperti penjaja haram dan aktiviti penyeludupan barang bersubsidi ke negara jiran.

“Sebelum ini, kita telah melancarkan operasi yang sama di Sandakan dan Lahad Datu dan operasi ini akan dilaksanakan secara berterusan sehingga kehadiran PATI di negeri ini khususnya di ESSZONE (Zon Selamat Timur Sabah) dapat dibendung,” katanya.

Abdul Rashid berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Operasi Bersepadu di Pejabat Imigresen Tawau, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Awam ESSCOM, Ruji Ubi dan Ketua Seksyen Tindakan Awam dan Penguatkuasaan ESSCOM, Yusri Hashim.

Beliau berkata, langkah drastik itu adalah susulan daripada Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai PATI di Sabah (RCI) dan arahan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengerusi Jawatankuasa ESSZONE supaya satu operasi besar-besaran bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini, khususnya di ESSZONE dilancarkan.

Rashid berkata, ESSCOM sebagai agensi kerajaan yang menyelaras pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan akan mengalas amanah dan tanggungjawab itu sehingga negeri ini benar-benar bebas daripada PATI.

“Tiada hari tanpa operasi bersepadu. Kita akan laksanakan operasi ini pada setiap hari sehingga kehadiran PATI di negeri dapat dihapuskan.

“Sebab itu, kita sebagai agensi penguatkuasa mesti bersatu dan bergerak sebagai satu pasukan demi untuk keamanan dan keharmonian bumi tercinta ini,” katanya.

Abdul Rashid berkata, beliau tidak akan membenarkan kehadiran PATI mengganggu gugat keharmonian dan kedamaian yang dinikmati oleh penduduk tempatan.

Beliau berkata, operasi sama yang dilaksanakan di Sandakan dan Lahad Datu sebelum ini ternyata berkesan dalam mengurangkan kehadiran PATI di daerah berkenaan.

ESSZONE merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer dari kudat hingga ke Tawau.

Daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. – BHarian Online

Komen


Berita Berkaitan