Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Esscom Lakukan Yang Terdaya Dengan Aset Sedia Ada Kekang Penculikan Di Esszone

esscom1

KOTA MARUDU : Anggota komponen keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) telah melakukan yang terdaya menggunakan aset sedia ada bagi mengekang jenayah rentas sempadan, khususnya penculikan di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (Esszone), kata Timbalan Pengarah Perisikan Esscom ACP Hashim Justin.

Beliau berkata ia sejajar dengan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada Esscom, menyelaras operasi pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan bagi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah, khususnya di Esszone.

Hashim berkata beliau kesal kerana terdapat pihak yang terus melemparkan pelbagai tuduhan dan komen negatif terhadap Esscom, termasuk memperlekehkan peranan anggota komponen keselamatan Esscom ekoran insiden penculikan di Ocean King, Sandakan baru-baru ini.

“Mereka beranggapan anggota keselamatan Esscom sekitar 150 orang hanya berfoya-foya mengawal perairan Esszone. Anggota Esscom telah melakukan yang terdaya bagi mengawal keselamatan di kawasan Esszone yang luas dari Kudat hingga ke Tawau.

“Sebagai anak jati Sabah dari Beaufort/Ranau, saya sendiri tidak mahu kes penculikan berlaku di Esszone. Namun rakyat perlu faham masalah penculikan kita hadapi ini agak unik kerana ia didalangi orang dalam atau pendatang tanpa izin (PATI) yang sudah berada di Sabah.

Bukan mudah menyelesaikannya secara konvensional tanpa penglibatan semua pihak, termasuk komuniti tempatan di Esszone,” katanya ketika menyampaikan taklimat keselamatan pada majlis berbuka puasa di Masjid Kampung Marudu Laut, dekat sini malam tadi.

Turut hadir Pengarah Pusat Operasi Esscom Brig Jen Datuk Tuan Roslan Tuan Ismail.

Hashim berkata kejadian penculikan di Restoran Ocean King tidak seharusnya dijadikan penanda aras bagi mengukur keberkesanan pengoperasian Esscom di Esszone kerana sebelum kejadian di restoran itu, Esscom mematahkan enam cubaan menculik di perairan Esszone, terutama di kawasan Semporna.

“Di kala Esscom berhempas pulas menyusun strategi mengawal perairan Semporna, Kunak dan Lahad Datu yang selalu berlaku kes penculikan, kumpulan penjenayah rentas sempadan ini melakukan penculikan di Sandakan. Penculik nampaknya tahu di mana Restoran Ocean King, sasaran individu dan tahu pergerakan anggota keselamatan.

“…orang asing tidak mungkin serba mengetahui kecuali ada orang dalam yang memberi maklumat…inilah cabaran kita, tali-barut di kalangan PATI,” katanya.

Beliau berkata Esscom yang ditubuhkan pada 1 April 2013 berikutan peristiwa berdarah Tanduo, Lahad Datu bukan sahaja berdepan ancaman luar tetapi juga dari dalam terutama PATI yang sudah lama di Esszone.

“Anehnya, kita sudah berkali-kali mengingatkan majikan tempatan supaya tidak mengambil pekerja asing, namun masih ada yang tidak mengendahkannya…risikonya tinggi mengambil pekerja asing yang tidak berdokumen.

“Contohnya, sekurang-kurangnya empat kes penculikan yang berlaku di Esszone, termasuk di Sandakan dipercayai didalangi pekerja asing mereka sendiri yang tidak berdokumen atau PATI,” katanya.

Sehubungan itu, Hashim mengajak rakyat Sabah bersatu untuk menangani masalah PATI, termasuk tidak melindungi atau menggaji PATI.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan