Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

ESSCom Kaji Semula Konsep Pengoperasian Di ESSZone

Foto Ihsan Esscom Times
Foto Ihsan Esscom Times

LAHAD DATU – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) akan membuat kajian semula mengenai konsep pengoperasian di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) untuk menambah baik sistem dan prosedur kerja yang diguna pakai oleh semua anggota ESSCom.

Komander ESSCom Datuk Abdul Rashid Harun berkata kajian semula itu penting bagi memudahkan ESSCom menyelaras dan menggerakkan semua anggota serta aset untuk memerangi jenayah rentas sempadan dan aktiviti yang menyalahi dan melanggar undang-undang negara.

Beliau berkata selepas penstrukturan semula ESSCom pada 18 Julai tahun lepas, tiada ketetapan dan perubahan yang jelas mengenai konsep pengoperasian serta prosedur kerja dalam ESSCom yang dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Kajian semula ini penting supaya apa juga birokrasi ataupun sistem dan prosedur kerja yang tidak relevan akan diperhalusi dan ditambah baik bagi membolehkan ESSCom bekerja sebagai satu pasukan dan memberi respons segera dan berkesan,” katanya ketika merasmikan Bengkel Kajian Semula ESSCom, di sini hari ini.

Bengkel lima hari bermula hari ini itu menghimpunkan semua pegawai ESSCom daripada semua cabang perkhidmatan PDRM, ATM dan APMM.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar, Timbalan Komander ESSCom Brig Jen Subari Tomo, Pengarah Komponen Laut ESSCom Laksamana Karunanithi dan pegawai kanan ESSCom.

Sementara itu, Abdul Rashid mengadakan pertemuan dengan anggota Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Silam yang diketuai bekas Ketua Polis Daerah Lahad Datu Idris Jikun di ibu pejabat ESSCom.

Dalam perjumpaan singkat itu, beliau memberi penjelasan mengenai perkembangan terkini operasi ESSCom, terutama Operasi Bersepadu Khas yang dilancarkan bagi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini, khususnya di ESSZone.

Beliau berharap anggota PBPM dapat memainkan peranan menyampaikan maklumat, terutama apa yang berlaku di peringkat akar umbi yang ada kaitan dengan aspek keselamatan dan kemasukan PATI. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan