Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Esscom Gagalkan Cubaan 29 PATI Masuk Di Tanjung Pulau Nunuyan

9:59pm 23/09/2016 Pak Roshan 2237 views Jenayah,Mutakhir

seludup

LAHAD DATU : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menggagalkan cubaan 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki negara ini melalui jalan laut di Tanjung Pulau Nunuyan, Sandakan.

Komander Esscom DCP Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata kesemua PATI dipercayai warga Filipina berumur dalam lingkungan empat hinga 54 tahun ditahan di kawasan hutan bakau dalam operasi dua hari bermula Rabu lepas yang dilakukan bersama agensi keselamatan lain.

“Mereka ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan di sini Jumaat.

Sementara itu, dalam satu lagi operasi berasingan di daerah Semporna pada Selasa lepas, Wan Abdul Bari berkata Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki warga Myanmar berumur 37 tahun kerana cuba menyeludup keluar 17 jerikin minyak petrol di perairan Pulau Omadal.

Dalam operasi kira-kira pukul 3.30 petang itu, katanya anggota PPM yang bertugas telah memeriksa sebuah bot yang mencurigakan dan menemukan 17 jerikin yang mengandungi 510 liter minyak petrol disembunyikan di ruang hadapan bot berkenaan.

“Lelaki itu ditahan kerana tidak mempunyai surat kebenaran membawa barang terkawal dan bersubsidi yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)”, katanya.

Wan Abdul Bari berkata turut disita satu bot bersama dua enjin sangkut jenama Yamaha 40 HP bernilai kira-kira RM29,267 yang digunakan untuk kegiatan menyeludup.

Beliau berkata kejayaan itu merupakan usaha berterusan Esscom dengan kerjasama semua pasukan keselamatan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bagi mengekang dan membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan PATI.

Dalam pada itu, menurutnya Esscom kini giat memperketatkan kawalan keselamatan di semua laluan panas yang dikenal pasti bagi mengekang kemasukan PATI dan kegiatan menyeludup minyak petrol dan diesel ke negara jiran.

“Kawalan diperhebat bagi mematahkan rangkaian dan keperluan penjenayah rentas sempadan di kawasan selatan Filipina yang dikenal pasti sebagai pembeli utama minyak seludup dari negara ini yang akan digunakan untuk melakukan aktiviti penculikan dan rompakan di laut sekitar perairan Filipina, Malaysia dan Indonesia,” katanya lagi.

Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya melaporkan sebarang kegiatan berkaitan penyeludupan dan isu PATI kepada pusat operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau menghubungi balai polis yang berhampiran untuk tindakan lanjut.

–BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan