Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,727

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

ESScom, ESSzone Tangani Banyak Cubaan Culik

6:18pm 28/05/2016 Pak Roshan 588 views Isu Semasa,Mutakhir

esscom 2

LAHAD DATU – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata langkah menempatkan anggota keselamatan di kawasan timur negeri Sabah berjaya mematah dan mengelakkan banyak cubaan penculikan serta keganasan daripada berlaku.

Beliau berkata tanpa penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom) dan Zon Selamat Timur Sabah (ESSzone), banyak lagi insiden penculikan dan keganasan boleh berlaku.

Beliau menarik perhatian bahawa insiden pencerobohan di Lahad Datu pada Februari 2013 mengorbankan 10 anggota keselamatan Malaysia dan satu orang awam, manakala 67 penceroboh dari selatan Filipina berjaya dibunuh.

Sejak peristiwa itu, katanya, pelbagai inisiatif yang efektif dan menyeluruh serta inovatif telah dan sedang dilaksanakan dalam menjaga keselamatan rakyat Sabah.

“Impaknya telah membawa kepada penubuhan ESScom dan ESSzone bertujuan meningkatkan lagi keselamatan negeri Sabah daripada ancaman musuh,” katanya ketika melancarkan pecah tanah projek pembinaan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) Helikopter Lahad Datu di sini hari ini.

Najib menegaskan bahawa kerajaan melaksanakan inisiatif menyeluruh melibatkan pengukuhan keselamatan pertahanan laut, udara dan darat.

Sungguhpun pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan, namun beliau mengingatkan bahawa soal keselamatan negara terutama di Sabah bukan tanggungjawab anggota keselamatan semata-mata kerana ia turut menjadi tanggungjawab semua rakyat.

Bertolak daripada itu, Najib menyimpulkan tiga perkara yang harus diterjemahkan dalam kalangan masyarakat – pertama, rakyat Malaysia khususnya di Sabah perlu bersatu-padu dan saling bergandingan dalam ikatan solidariti yang kukuh.

Kedua, menurutnya, rakyat perlu menanam semangat kecintaan atau patriotisme tinggi kepada negara termasuk menjadi ‘mata dan telinga’ bagi pihak keselamatan.

Perkara ketiga yang ditekankan perdana menteri ialah supaya jangan ada antara rakyat yang berwatak umpama ‘gunting dalam lipatan’ dengan menjadi tali barut dan bersubahat dengan musuh negara.

“Sebab itulah kita merasa amat-amat kesal di kala kita bermati-matian mempertahankan kedaulatan bumi Sabah daripada pengganas, ada pula individu-individu tertentu yang sanggup bertemu dengan pihak yang pernah dikaitkan dengan penceroboh Lahad Datu,” kata Najib.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata projek pembinaan FOB itu akan dilaksanakan di kawasan seluas 0.48 hektar di Lapangan Terbang Lahad Datu melibatkan pembinaan shelter dan apron yang mampu menempatkan enam helikopter.

Sebanyak RM9 juta disediakan di bawah peruntukan mengurus untuk pelaksanaan projek itu yang akan dilaksana bermula awal bulan depan.

FOB itu akan berfungsi sebagai pusat transit dan bantuan udara untuk pengoperasian bagi semua jenis helikopter Angkatan Tentera Malaysia selain berupaya diangkat sebagai pusat operasi ketika operasi pertahanan dilaksanakan bagi melumpuh serangan atau ancaman luar.

Keputusan untuk membina FOB Lahad Datu adalah susulan mesyuarat jemaah menteri pada 12 Ogos 2015 yang memutuskan supaya Kementerian Pertahanan melaksanakan segera Projek Pembinaan Infrastruktur Detasmen Helikopter sebagai pangkalan operasi hadapan bagi tujuan keselamatan di negeri ini.

Penubuhan FOB itu juga akan meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan di kawasan ESSCom yang ditubuhkan pada Mac 2013 serta meningkatkan moral dan motivasi rakyat Sabah.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan