Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Erat Hubungan Perlis-Sabah, Titah Raja Muda Perlis

KOTA KINABALU – Hubungan baik yang terjalin sekian lama antara Sabah dan Perlis harus dipertingkatkan khususnya oleh usahawan bagi merancakkan ekonomi di kedua-dua negeri, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menurut baginda Perlis yang bersempadan dengan Thailand sedang membangunkan Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA), menawarkan banyak peluang perniagaan dalam beberapa tahun akan datang.

Syarikat ternama dari Jerman dan India adalah antara yang telah menyatakan komitmen untuk melabur di CVIA meliputi kawasan seluas 1,217 hektar di Padang Besar khusus untuk industri teknologi hijau, titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah pada majlis iftar bersama pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu malam tadi di institut itu dalam program Titian Kasih sempena Ops Pasir 2018 di Negeri Bawah Bayu bermula semalam hingga Ahad ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut menyambut keberangkatan tiba baginda dan berbuka puasa bersama-sama delegasi program tersebut dan para pelajar IKM Kota Kinabalu.

Baginda bertitah Jeti Bersepadu Sanglang juga akan dibangunkan di Kuala Sanglang melalui pelaburan swasta untuk menyokong projek CVIA yang dijangka siap menjelang tahun 2025.

Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menitahkan tahniah kepada Mohd Shafie yang dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu setelah parti pimpinan beliau memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lepas.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Mara, Zulfikri Osman menyampaikan Biztalk bagi mendedahkan pelajar IKM dan masyarakat setempat mengenai peluang keusahawan yang disediakan Mara serta melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan sumbangan Ramadan kepada anak-anak yatim dan asnaf.

Tuanku Syed Faizuddin dan delegasi seramai 25 orang terdiri darpada ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan kemudian meneruskan perjalanan ke Kudat dan singgah di Sekolah Agama Suria di Tuaran untuk menyampaikan sumbangan.

Ops Pasir ialah program tahunan kerajaan Perlis untuk menemui dan menyampaikan sumbangan Ramadan serta kuih raya kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone). Tahun ini merupakan program ke-15. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan