Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Empat Warga Asing Disyaki Anggota Kanan Kumpulan LTTE Ditahan

LTTE

KUALA LUMPUR:  Polis menahan empat warga asing disyaki anggota kanan kumpulan pengganas Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) Sri Lanka dalam beberapa serbuan di Kuala Lumpur dan Selangor.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataan hari ini berkata mereka ditangkap dalam operasi Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman yang dijalankan serentak semalam.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan kerana dipercayai terlibat dalam melancarkan serangan di Sri Lanka serta merancang untuk mengaktifkan kumpulan LTTE dengan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi.

Suspek pertama, pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), merupakan pakar membuat bahan letupan manakala suspek kedua dikaitkan dengan cubaan bunuh bekas Presiden Sri Lanka Chandirka Kumaratunga pada 18 Dis 1999 melibatkan penyerang berani mati wanita LTTE.

Suspek seterusnya disyaki bersubahat dengan seorang warga Sri Lanka yang ditangkap oleh pasukan sama pada 14 Mei lepas kerana merancang untuk melancarkan serangan ke atas pejabat konsulat asing di Chennai dan Bangalore, India.

“Suspek ini juga dikaitkan dalam aktiviti pemalsuan dokumen perjalanan pas pelajar warga asing dan aktiviti penyeludupan manusia,” kata Khalid.

Mengulas lanjut, beliau berkata suspek keempat pula terlibat dalam pengumpulan dan penyaluran maklumat kepada LTTE untuk tujuan merancang serangan.

Khalid berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas barang-barang antaranya sejumlah besar pasport palsu pelbagai negara dan cop rasmi palsu Jabatan Imigresen Malaysia dan beberapa kedutaan asing.

“Polis memandang serius aktiviti anasir pengganas asing yang cuba menjadikan Malaysia sebagai transit, tempat perlindungan dan pangkalan operasi.

“Ini ditambah pula dengan kecenderungan segelintir mereka mengeksploitasi kad pelarian UNHCR untuk mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa,” tegasnya.

Daripada 14 anasir LTTE yang diberkas sejak 2009, tujuh merupakan pemegang kad UNHCR, katanya.

Kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Komen


Berita Berkaitan