Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,725

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Empat Syarikat Perniagaan Di Sabah Didakwa Kerana Langgar Akta GST – Kastam

3:47pm 25/06/2016 Pak Roshan 272 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

GST

KOTA KINABALU – Empat syarikat perniagaan di negeri ini akan didakwa di mahkamah kerana melanggar peraturan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014, kata Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah Datuk Dr Janathan Kandok.

Beliau berkata syarikat tersebut dikenal pasti berdasarkan pemantauan jabatan kastam dan tindakan dikenakan atas kesalahan tidak mengeluarkan resit dengan tepat kepada pengguna seperti dikehendaki dalam akta.

“Empat syarikat itu juga dikenakan kompaun RM5,000,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang peraduan Jom Minta Resit GST di sini hari ini.

Beliau berkata syarikat yang menjalankan jenis perniagaan kedai runcit dan kedai makan atau restoran yang lazim melakukan kesalahan sedemikian.

Janathan turut mengingatkan kepada syarikat perniagaan yang berdaftar GST di Sabah supaya mematuhi undang-undang tersebut kerana didapati masih ada yang tidak menepati sepenuhnya peraturan itu.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya giat menjalankan operasi untuk menyekat kemasukan barangan kritikal seperti mercun ke Sabah.

Katanya JKDM Sabah telah mengenal pasti beberapa lokasi yang menjadi tumpuan untuk mengawal penyeludupan barangan kritikal bermusim itu termasuk di sempadan Sabah dan Sarawak serta pejabat pos yang dikhuatiri mercun dihantar menerusi perkhidmatan pos dan kurier.

Mengenai peraduan, katanya program anjuran jabatan kastam seluruh negara itu bertujuan mewujudkan budaya meminta dan menyimpan resit dalam kalangan pengguna supaya boleh dijadikan rujukan jika terdapat keraguan sama ada peniaga mengenakan GST atau tidak.

“Program ini juga untuk memastikan peniaga mematuhi Akta GST terutamanya menulis dan mengeluarkan resit,” katanya.

Katanya JKDM telah mengumumkan seramai 2,876 pemenang dalam peraduan itu bagi tempoh April hingga Mei, dan daripada jumlah tersebut, Sabah mencatat pemenang tertinggi iaitu seramai 118 orang. – BERNAMA

 

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan