Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,501

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Empat PATI dan juragan tempatan ditahan

7:46am 19/03/2017 Pak Roshan 275 views Jenayah,Mutakhir

pati

LAHAD DATU: Pasukan keselamatan telah menahan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menaiki sebuah bot penambang yang dijuragani oleh seorang warga tempatan di perairan Kerindingan Semporna.

Komander ESSCOM DCP Dato’ Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid dalam satu kenyataan di sini, kelmarin berkata, kesemua PATI yang berumur dalam lingkungan 20-29 tahun itu ditahan dalam operasi yang telah diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) pada 14 hingga16 Mac lalu, di sekitar Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Dalam operasi tersebut, katanya, pasukan keselamatan turut menahan lima buah pam bot dikawasan perairan Pulau Omadal.

“Kesemua PATI termasuk juragan bot berkenaan telah ditahan dan kes akan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala lima buah bot pam yang dirampas akan disiasat mengikut Seksyen 474 Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 (MSO),” katanya.

Menurut Wan Abdul Bari, selain tangkapan dan rampasan pam bot, dalam operasi sama pasukan keselamatan turut berjaya merampas lima buah bot, lima unit enjin pam dan satu unit enjin sangkut Yamaha 40hp yang digunakan dalam kegiatan berkenaan yang dianggarkan bernilai RM23,465.

Sementara itu, dalam satu operasi berasingan di daerah Kudat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menahan sebuah bot pukat tunda kerana disyaki melakukan kesalahan dibawa Akta Perikanan iaitu menunda pukat di bawah 6 batu nautika daripada pantai di kawasan perairan Tanjung Bangau, Kudat.

“Bot serta enam orang kru yang terdiri daripada seorang tekong warga tempatan dan lima awak-awak warga Indonesia telah dibawa ke jeti awam Kudat untuk tindakan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya.

Wan Abdul Bari merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pasukan keselamatan di ESSZONE termasuk Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia daerah Semporna dan Kudat atas kejayaan ini dan berharap agar masyarakat di kawasan Zon Selamat Timur sabah (ESSZONE) mematuhi syarat-syarat lesen bot penambang serta peraturan-peraturan menangkap ikan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan keselamatan yang sentiasa berusaha untuk mengawal perairan negara termasuk berjaya mengekang beberapa percubaan pendatang asing untuk memasuki perairan negara ini secara haram melalui laluan yang tidak diwartakan.

“Saya meminta kepada orang ramai agar melaporkan kepada ESSCOM sekiranya melihat sebarang aktiviti yang mencurigakan dan melanggar undang-undang negara termasuk penyeludupan kepada Pusat Operasi ESSCOM ditalian 089-863181 untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi. – NewSabahTimes

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan