Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,823

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Empat Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kes Culik Di Lahad Datu

7:06pm 12/01/2016 Pak Roshan 266 views Jenayah,Mutakhir

culik

KOTA KINABALU : Polis menahan empat lelaki termasuk tiga anggota polis bagi membantu siasatan kes culik seorang wanita di Kampung Silam, Lahad Datu baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah Datuk Sallehhudin Abd Rahman berkata kesemua suspek berusia antara 26 hingga 33 tahun itu ditahan dalam operasi selama tujuh jam bermula pukul 10.30 pagi di sekitar Lahad Datu, semalam.

“Kesemua suspek ditahan di tempat berasingan berdasarkan maklumat diterima pasukan petugas yang menjalankan siasatan kes. Dua daripada anggota polis itu berpangkat Koperal dan seorang lagi Konstabel, manakala seorang lagi suspek adalah orang awam.

“Turut dirampas bersama suspek berkenaan adalah dua laras senjata api HKMP5 dan satu laras M16 milik Polis Diraja Malaysia, dua buah kereta, empat telefon bimbit, wang tunai RM8,100 serta pakaian dipercayai digunakan suspek semasa kejadian culik itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati dua daripada anggota polis itu bertugas sebagai anggota Pasukan Gerakan Am, Lahad Datu dan seorang lagi bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau hukuman penjara seumur hidup dan sebatan. Pihak polis akan memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan tahanan reman semua suspek,” kata Sallehhuddin.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam Rabu lepas, seorang wanita berbangsa Suluk didatangi tiga lelaki bertopeng serta bersenjata api di rumahnya di Kampung Silam sebelum ditarik masuk ke dalam sebuah kereta jenis Ford lama berwarna putih yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.

Mangsa berusia 44 tahun merupakan peniaga ikan kemudiannya diugut bunuh sekiranya gagal menyediakan wang tebusan RM50,000, sebelum diarah menghubungi anggota keluarga untuk menyediakan sejumlah wang tersebut.

Mengenai Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Akta 297) Pindaan 2012 yang diperluas ke Sabah pada 1 April 2014 sehingga 2015, Sallehhudin berkata pihaknya menahan 44 individu atas pelbagai kesalahan melibatkan kes culik, perjudian dan pemerdagangan orang.

“Daripada jumlah itu, 13 orang dikenakan perintah tahanan, perintah pengawasan (26 orang), masih dalam siasatan (tiga orang) manakala dua orang dibebaskan,” katanya.

Sementara itu, Sallehhudin berkata kedudukan indeks jenayah IPK Sabah tahun lepas mencatatkan 5,176 kes, menurun sebanyak 43 kes atau 0.82 peratus berbanding 5,219 kes pada 2014.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan