Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,499

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Empat Anggota Polis Didakwa Peroleh Rasuah Di Sabah

3:40pm 09/03/2017 Pak Roshan 6463 views Jenayah,Mutakhir

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU, 9 Mac : Empat anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperoleh rasuah daripada orang awam membabitkan nilai RM43,500.

DSP Mohd Mahyuddin Abdullah, 44, dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, didakwa atas tiga pertuduhan rasuah memperoleh wang tunai daripada orang awam.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua Mohd Mahyuddin didakwa secara rasuah memperoleh wang tunai RM20,000 dan suatu benda berharga bernilai RM500 daripada Josepin J. Langkan sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan undang-undang atas kesalahan menipu.

Dia didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di tempat letak kenderaan dan di dalam Mini Cafe& Bar di Taman Ridgeview, dekat sini, di antara pukul 9 malam dan 10.30 malam, 15 Jun 2016.

Mohd Mahyuddin turut didakwa memperoleh wang tunai RM5,000 daripada Josepin sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang atas kesalahan menipu dan dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kenderaan Kolej Yayasan Sabah di antara pukul 9.50 pagi dan 10 pagi, 18 Jun 2016.

Sementara itu, tiga anggota dari Bahagian Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang pula didakwa secara bersama memperoleh rasuah RM15,000 daripada Wong Kian Shung sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Dahlia Andreas atas kesalahan positif dadah mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Inspektor Mohd Fa’iz Mohd Yusof, 32; Koperal Elly [email protected] Anak Tugok, 36, dan Koperal Liza Ambau, 39, didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Narkotik IPD Penampang di antara jam 11 malam hingga 12 tengah malam, 8 April 2016.

Mohd Fa’iz turut didakwa dengan dua lagi pertuduhan memperoleh wang tunai RM3,000 daripada Zaleha Brahim sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Rinciah Labik atas kesalahan positif dadah mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di tempat letak kereta berhampiran Restoran Nikmat Pekan Donggongon, dekat sini, pada 9 dan 10 Feb 2016.

Mohd Mahyuddin dan Mohd Fa’iz didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, manakala Elly Boniface dan Liza masing-masing didakwa menurut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Hakim Abu Bakar Manat membenarkan jaminan RM20,000 kepada Mohd Mahyuddin; Mohd Fa’iz (RM15,000), Elly Boniface (RM10,000) dan Liza RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta, menetapkan 26 April depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan terhadap Mohd Mahyuddin dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rozana Abdul Hadi dan tertuduh diwakili peguam PJ Perera.

Pendakwaan tiga lagi tertuduh dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rustam Sani dan ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Luke Ressa Balang.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan