Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,657

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Empangan Di Cinta Mata, Gudang Empat Akan Dibina Jun Ini – Mary Yap

9:21am 04/03/2016 Pak Roshan 95 views Mutakhir,Tawau,Tempatan

Mary-Yap

TAWAU : Pembinaan empangan bernilai RM400 juta di Cinta Mata, Gudang Empat, di sini akan bermula Jun ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching.

Yap yang juga Anggota Parlimen Tawau berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Teo Che Kong pada pertemuannya dengan Teo beberapa hari lepas.

“Pemimpin Sabah tidak pernah berdiam diri sekiranya ada masalah yang di hadapi oleh rakyat. Pemimpin di semua peringkat akan turun padang,” kata kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 40 Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kawasan Parlimen Tawau hari ini.

Yap berkata demikian ketika mengulas masalah kekurangan bekalan air yang dialami penduduk Tawau ekoran musim kemarau yang melanda daerah ini pada masa ini.

Bagaimanapun, Yap berkata bahawa langkah awal kerajaan bagi menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air di Tawau ialah menempatkan tangki air bersih di 10 lokasi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, empat di DUN Balung dan dua di DUN Sri Tanjong.

Katanya kerajaan juga bersetuju untuk menempatkan tangki di enam lokasi lagi di kawasan DUN Balung dan tiga di DUN Sri Tanjung.

Terdahulu dalam ucapannya, Yap berkata peruntukan yang diberi kepada PIBG sekolah kawasan Parlimen Tawau adalah bertujuan meningkatkan aktiviti PIBG bagi kemajuan pelajar di sekolah mereka.

“Gunakanlah peruntukan itu sebaik mungkin, demi memastikan peningkatan aktiviti masing-masing di sekolah,” katanya.

Yap juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah Tawau untuk melaksanakan beberapa aktiviti bagi meningkatkan pendidikan di daerah ini.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Sekolah Menengah Islamiah dan SM St Patrick di Tawau yang masing-masing berada pada kedudukan ke-6 dan ke-9 daripada 10 sekolah terbaik di Sabah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan