Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Elaun Anggota, Pegawai Rela Dinaikkan

SERDANG – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kenaikan elaun anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) daripada RM6 kepada RM8 sejam manakala RM7.80 kepada RM9.80 sejam bagi pegawai.

Beliau berkata kenaikan elaun yang akan memberi manfaat kepada lebih 3.05 juta anggota dan pegawai Rela di seluruh negara itu adalah bagi menghargai jasa dan kesetiaan mereka sebagai benteng kedua keselamatan negara.

Najib yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk pembelian uniform digital pasukan Rela sebagai tambahan kepada peruntukan RM100 juta yang diumumkan sebelum ini.

“Tadi Timbalan Perdana Menteri (yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) bisik kepada saya alangkah cantiknya jika peruntukan RM100 juta sebelum ini ditambah lagi RM20 juta.

“Maka dalam perhimpunan ini, mengambil kira kesetiaan tuan-tuan, saya tambah lagi RM20 juta, memandangkan hanya 550,000 daripada tiga juta anggota Rela yang memiliki uniform digital,” katanya pada Sambutan Ulang Tahun Ke-46 Rela peringkat kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), di sini hari ini.

Najib turut membayangkan tambahan peruntukan akan terus diberikan kepada pasukan Rela jika kerajaan Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat memimpin negara selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Sejak program transformasi Rela dimulakan pada tahun 2012, Najib berkata peranan pasukan itu kini lebih mencabar termasuk sebagai benteng kedua di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Walaupun tidak bertugas di barisan hadapan bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tugas pasukan itu signifikan dalam memastikan keselamatan di kawasan tersebut, katanya.

Tidak hanya dilihat sebagai pemudah cara pada majlis keraian, Najib berkata Rela turut memainkan peranan ketika negara ditimpa musibah bencana seperti banjir, selain ditempatkan di kawasan-kawasan berisiko menjadi ancaman pengganas.

“Ada kalanya anggota Rela berdepan cabaran dan risiko, dicederakan dan dimaki, ada juga yang mempersendakan kebolehan anggota Rela, tetapi saya yakin semangat Rela semakin kuat,” katanya.

Najib berkata Rela merupakan sebuah pasukan yang mencerminkan keanggotaan akar umbi masyarakat Malaysia yang disifatkan sebagai mata, telinga dan tangan kerajaan di tengah-tengah masyarakat di segenap lapisan.

Perdana menteri turut memuji keanggotaan Rela yang merangkumi pelbagai kumpulan etnik, sekali gus mencerminkan semangat 1Malaysia dan kesepaduan sosial masyarakat Malaysia.

“Maka teruskan perjuangan kita, berbaktilah kepada negara kita. Rela sentiasa berkorban dan berbakti, walau dilambung ombak dan lautan, meski dipukul badai fitnah dan taufan cabaran, demi Malaysia, demi pertiwi tercinta, kedaulatan negara ini akan tetap dipertahankan,” kata Najib yang disahut dengan penuh semangat oleh anggota Rela.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Perkhidamatan Awam Tan Sri Zainal Rahim Seman.

Pada majlis itu, perdana menteri turut memakaikan pangkat Ketua Pesuruhjaya Rela (Kehormat) kepada Ali.

Acara itu yang diadakan serentak di Universiti Malaysia Sabah dan Stadium Perpaduan Petrajaya, Sarawak secara persidangan video itu dihadiri lebih 40,000 anggota Rela dari seluruh negara.

Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut menghadiri acara tersebut di negeri masing-masing. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan