Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,503

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

ELAK KENYATAAN BERSIFAT BATU API

3:24pm 27/05/2014 Pak Roshan 15 views Nasional

pic-42

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru semua rakyat Malaysia, termasuk warganegara, wartawan dan ahli politik, agar bekerjasama bagi mengelak kenyataan bersifat mengapi-apikan serta bertindak meredakan ketegangan yang berlaku.

Beliau berkata ahli politik mempunyai tanggungjawab tidak mencari publisiti murahan dengan kenyataan provokasi manakala wartawan memikul tanggungjawab untuk membuat laporan yang tepat dan adil.

“Rakyat pula mempunyai tanggungjawab untuk berfikir tentang kandungan yang mereka kongsikan dalam suasana panas sebegini.

“Kita harus berbuat demikian berlandaskan semangat kesamarataan dan menyampaikan kebenaran – prinsip sama yang membimbing pemenang malam ini dan anggota Kelab Akhbar Kebangsaan,” katanya pada majlis Anugerah Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) 2014 di sini Isnin malam.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Presiden NPC Mokhtar Hussin serta Pengerusi Penganjur NPC Datuk Ahiruddin Attan.

Anugerah NPC adalah bagi mengiktiraf serta memberi ganjaran kepada wartawan dan kewartawanan berwibawa yang diamalkan dalam kalangan media di negara ini.

Najib berkata rakyat di Malaysia sering mempunyai kecenderungan bertindak mengikut emosi sehingga kadangkala mendorong kepada tindakan terburu-buru.

Beliau berkata dalam mana-mana masyarakat berbilang kaum dan agama, terdapat tekanan yang harus ditangani.

Dalam konteks ini, beliau berkata pemberitaan yang bersifat reflektif dan bertanggungjawab mampu bertindak sebagai penyerap kejutan bagi membendung impak kenyataan tidak berhemat.

Beliau juga berkata dalam persekitaran media sekarang, yang bersifat ‘cerminan diri’ apabila reaksi online terhadap sesuatu berita dengan sendirinya boleh menjadi bahan berita, “kita semua sering mendapat imbangan yang salah. Yang penting ialah bagaimana kita bertindak balas, respons dan terus melangkah.”

Najib menganggap media yang mantap dan bertenaga sebagai sebahagian elemen demokrasi yang matang.

“Apabila wartawan diperkasa, masyarakat boleh mendapat manfaat. Media boleh mempengaruhi kerajaan, perbadanan dan rakyat.

“Paling baik, media boleh mencerminkan pemikiran masyarakat supaya kita dapat melihat kelemahan kita dan memperbaikinya,” kata beliau.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata kuasa pemantauan harus disertakan dengan tanggungjawab serta perbincangan bagi mencari keseimbangan antara kebebasan dan tanggungjawab media yang diamal di seluruh dunia.

“Dalam demokrasi muda Malaysia, kita juga sudah menemui gabungan yang betul antara pengawasan demokratik dan pemberitaan yang bertanggungjawab,” katanya.

Najib mengingatkan para hadirin bahawa beliau sudah memansuhkan syarat untuk memperbaharui lesen cetak setiap tahun dan memberi ruang bagi semakan kehakiman dilakukan terhadap bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri untuk menyekat, membenar atau membatalkan lesen.

Beliau juga memberi komitmen tegas untuk mengekalkan Internet sebagai medium perdebatan secara bebas dan terbuka bagi membolehkan rakyat Malaysia menggunakan hak mereka memberi komen atau mengkritik media online dan media sosial.

“Ini juga adalah sebahagian proses demokratik.

“Di sebuah negara demokrasi, pasti ada orang yang tidak bersetuju dengan dasar atau tidak menyukai kerajaan sedia ada. Saya menyambut baik kritikan yang bermaklumat dan membina,” katanya.

Pada masa sama, Najib berkata ada perbezaan antara fitnah dan kritikan yang dibenarkan.

Najib berkata notis undang-undang yang dikeluarkan pasukan perundangan beliau berhubung dakwaan oleh sebuah portal berita baru-baru ini tidak membayangkan agenda yang lebih luas.

Pada majlis malam ini, wartawan Utusan Malaysia Azrai Mohammad merangkul Anugerah Wartawan NPC-Scomi.

Kategori lain termasuk Anugerah Wartawan Muda NPC-Celcom yang dimenangi Tharanya Arumugan dari New Straits Times manakala AminHayat Abd Rahim (TV9) menggondol Anugerah Wartawan Penyiaran Terbaik NPC-TNB.

Wan Noor Hayati Wan Alias dari Berita Harian memenangi Anugerah Wartawan Terbaik NPC-PROTON (media Bahasa Melayu) sementara Bavani Mahalingam dan Hariati Azizan, kedua-duanya dari The Star, merangkul Anugerah Wartawan Terbaik NPC-K&K Kenanga (media Bahasa Inggeris).

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan