Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Elak jadi wakil rakyat bermusim

Musa Aman (kanan) berucap dihadapan rakyat dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sungai Obar.
Musa Aman (kanan) berucap dihadapan rakyat dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sungai Obar.

SANDAKAN – Pemimpin masyarakat perlu mengelak daripada menjadi `wakil rakyat bermusim’, sebaliknya mereka wajar kerap turun padang bagi menjaga hubungan baik dengan rakyat di kawasan masing-masing.

Mengulangi nasihat itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menegaskan bahawa, apa juga masalah dan kehendak rakyat hanya dapat diketahui oleh pemimpin itu apabila mereka turun padang, melihat dan bertanya sendiri kepada rakyat.

“Jangan datang apabila tiba pilihan raya kerana mahu minta undi seperti yang dilakukan oleh parti pembangkang. Saya telah katakan kepada semua pemimpin, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan Ahli Parlimen supaya jangan datang ke kawasan hanya bermusim. Kena datang apabila ada kelapangan berjumpa rakyat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sungai Obar, di sini hari ini.

Musa yang juga ADUN Sungai Sibuga berkata, ia bukan semata-mata penting dalam melaksana kewajipan pemimpin terhadap rakyat tetapi juga langkah itu menandakan pemimpin dan rakyat sebagai satu keluarga besar.

Saranan tersebut, tambah beliau lagi telah disuarakan kepada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) dari dahulu sehingga sekarang bagi menjaga kepentingan bersama.

“Jangan kita (pemimpin) angkuh, sombong kerana kita dipilih oleh rakyat, kita mestilah juga berkhidmat untuk rakyat. Itulah saya katakan kepada rakan-rakan saya di bahagian Libaran apabila saya datang, kerana saya bukan selaku ke situ, saya terlalu sibuk mentadbir negeri.

“Walau bagaimanapun, saya tetap juga mencari masa melawat. Ia sedikit sebanyak menghilangkan rindu saya kepada rakyat. Saya akan pastikan setiap kali saya datang ke Sandakan semua tempat dapat saya lawati dan berjumpa rakyat,” ujarnya.

Musa menegaskan, kerajaan menyedari banyak lagi usaha pembangunan yang perlu dilakukan untuk memastikan rakyat mendapat layanan yang baik. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan