Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,655

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

El Nino Tidak Jejas Hasil Tangkapan Nelayan Pesisir Pantai Di Sandakan

2:58pm 22/04/2016 Pak Roshan 54 views Berita Pilihan,Mutakhir,Sandakan,Tempatan

nelayan

SANDAKAN : Cuaca panas akibat fenomena El-Nino tidak menjejaskan hasil tangkapan nelayan pesisir pantai di daerah ini, yang tetap ke laut mencari rezeki.

Malah, kebanyakan nelayan berkata cuaca panas bukan penghalang kepada mereka untuk ke laut tetapi perlu memastikan diri minum air yang banyak bagi mengelakkan terkena strok haba.

Seorang nelayan di Pulau Tanjung Aru, Harmi Muji, 31, berkata hasil tangkapan ikan harian pada bulan ini juga masih baik sehingga mencecah 300 hingga 400 kilogram.

Katanya biasanya ikan jenis tamban banyak ditangkap dan dijual kepada ejen peniaga di Pasar Am Sandakan dengan harga RM0.50 sen sekilogram.

“Anggaran kasar hasil pendapatan bulanan yang diperoleh nelayan adalah dalam lingkungan RM1,000 sebulan,” katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

“Ini merupakan punca rezeki saya untuk menyara keluarga. Cuaca panas, hujan dan ribut merupakan cabaran yang biasa kami tempuh kerana bergantung pendapatan daripada hasil laut,” katanya.

Menurut Harmi, nelayan hanya akan menghentikan aktiviti menangkap ikan apabila keadaan laut tidak mengizinkan seperti bergelora atau ombak yang kuat kerana ia boleh membahayakan keselamatan terutama yang menggunakan bot kecil sepertinya.

Dalam pada itu, Pengurus Persatuan Nelayan Kawasan Sandakan (PNK) Dzulkiflee Mohd Shaffrie berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima aduan atau keluhan daripada nelayan mengenai hasil tangkapan ikan yang terjejas akibat cuaca panas.

Katanya seramai 1,016 nelayan yang berdaftar di bawah PNK Sandakan tetap menjalankan aktiviti mereka seperti biasa.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan