Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Ekspedisi tinjau Gunung Kinabalu Sabtu ini – Masidi

gk

KOTA KINABALU: Satu ekspedisi pendakian ke Laban Rata, Gunung Kinabalu bakal dianjurkan dengan disertai 88 pendaki termasuk malim gunung, Sabtu ini, kali pertama sejak gempa bumi 5.9 magnitud yang mengorbankan 18 nyawa, 5 Jun lalu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata pendakian bermula dari Timpohon dan turun semula pada hari sama bertujuan menilai keadaan laluan yang sudah dibaiki dan memastikan ia selamat digunakan.

Ini kerana, katanya, pihak paling layak menilai keselamatan di laluan itu ialah mereka yang menggunakannya setiap hari khususnya kakitangan Taman-Taman Sabah dan malim.

“Aktiviti pendakian itu bermula jam 8 pagi Sabtu ini sebelum turun semula jam 2 petang.

Kita tidak mendaki hingga ke puncak kerana ia masih dalam proses pembaikan,” katanya selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri kementeriannya di Pusat Kebudayaan Penampang, di sini, tengah hari tadi.

Laban Rata terletak pada ketinggian 3,300 meter dari aras laut, manakala puncak Gunung Kinabalu berada di 4,095 meter dari aras laut. Aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu ditutup sejak dua bulan lalu susulan gempa bumi yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta kerosakan teruk pada laluan mendaki.

Mengulas lanjut, Masidi berkata, pihaknya menjangka beberapa laluan ke puncak akan mengalami perubahan kerana laluan sedia ada tidak boleh digunakan dan perlu dialihkan untuk tujuan keselamatan.

“Ada sebahagian laluan dipenuhi kesan runtuhan batu dan tidak boleh digunakan lagi. Apabila kerja pemulihan di lokasi pendakian ke puncak selesai, saya menjangkakan laluan mendaki Gunung Kinabalu kini lebih mencabar,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti mendaki Gunung Kinabalu kepada orang awam dijangka dibuka semula pada awal September ini dengan jumlah pendaki dikurangkan. – BH Online

Komen


Berita Berkaitan