Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Earth Hour Disambut Di Seluruh Dunia

earth-hour

LONDON – Lebih 700 lokasi terkenal di seluruh dunia termasuk Big Ben dan London Eye di sini memadamkan lampu malam kelmarin dalam sambutan kempen Earth Hour untuk meningkatkan kesedaran tentang perubahan iklim dunia.

Acara tahunan anjuran Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) itu disambut pada 8.30 hingga 9.30 malam (waktu tempatan) setiap negara pada hari Sabtu terakhir bulan Mac. Sambutan Earth Hour melintasi 24 zon masa di enam benua bermula di Samoa dan berakhir di Tahiti.

Selain penyertaan berjuta-juta rumah orang awam, sambutan tahun ini menyaksikan 700 tapak atau bangunan terkenal di dunia bergelap selama satu jam termasuk Bangunan Parlimen di London, Istana Buckingham, Menara Eiffel, Jambatan Pelabuhan Sydney dan Menara Berkembar Petronas.

Acara ini dimulakan di Australia pada 2007 dan telah tersebar ke seluruh dunia dengan penyertaan lebih sembilan juta penduduk Britain tahun lalu yang memadamkan lampu dan menyalakan lilin di rumah mereka.

Jumaat lalu, Putera Charles melalui satu rakaman video untuk Earth Hour Britain mengajak rakyat negara ini men­yumbang kepada usaha melin­dungi bumi bagi manfaat generasi akan datang.

“Menutup lampu untuk Earth Hour adalah satu kenyataan bumi ini bukan hanya untuk kita tetapi juga milik anak cucu kita. Ini satu simbol peringatan bahawa kita mampu mengubah sesuatu dengan bersatu.

“Acara ini mengingatkan kita semua bahawa masa semakin suntuk untuk melakukan perubahan. Jika semua orang di du­nia menggunakan sumber semula jadi seperti di Britain, kita akan memerlukan tiga buah planet untuk meneruskan hidup,” katanya. – Agensi

Komen


Berita Berkaitan