Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,689

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

DUN Sabah Lulus Rang Undang-undang Tambah 13 Anggota DUN

6:51pm 09/08/2016 Pak Roshan 3889 views Laporan Sidang DUN,Mutakhir

MAP SABAH

KOTA KINABALU : Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan rang undang-undang untuk meminda Perlembagaan Negeri Sabah bagi menambah bilangan anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 60 ketika ini kepada 73.

Terdahulu, Timbalan Speaker DUN Datuk Dr Johnson Tee mengumumkan sebanyak 55 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk empat anggota pembangkang bersetuju, tiga ADUN tidak bersetuju dan seorang ADUN berkecuali, agar Perkara 14, fasal (2) Perlembagaan Negeri Sabah dipinda untuk menambah 13 lagi anggota yang dipilih menganggotai DUN.

Katanya tiga ADUN yang tidak bersetuju ialah Dr Roland Chia (PKR-Inanam), Terence Siambun (PKR-Moyog) dan Chan Foong Hin (DAP-Sri Tanjong), Wong Hong Jun (DAP-Likas) berkecuali manakala Datuk Mohammad Yusof Apdal (BN-Lahad Datu) tidak hadir.

Ketika membentangkan rang undang-undang itu, Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Teo Chee Kang berkata kali terakhir pembahagian kawasan pilihan raya dibuat di Sabah adalah pada 2003.

“Setelah pindaan ini dibuat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah menjalankan kajian semula mengikut peruntukan di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Teo berkata cadangan penambahan sebanyak 13 lagi anggota itu adalah munasabah dari segi menyediakan perwakilan demokrasi yang mencukupi dan efektif untuk rakyat.

“Pertambahan ini juga mengambil kira pertambahan penduduk, purata bilangan pemilih, peningkatan kemudahan asas, infrastruktur seperti jalan raya dan beberapa faktor lain yang boleh mencerminkan keadilan dari segi representasi berbilang kaum dan etnik di negeri ini,” katanya.

Susulan kelulusan meminda Perlembagaan Negeri untuk menambah anggota dewan itu, DUN Sabah turut meluluskan rang undang-undang untuk meminda Seksyen 2 Enakmen Dewan Undangan (Ahli-Ahli Dipilih) 1965 dengan menggantikan perkataan “sixty”(enam puluh) dengan perkataan “seventy three” (tujuh puluh tiga).

Teo menjelaskan mengikut Perlembagaan Persekutuan, Sabah boleh menambah kerusi DUN dengan mengubah jumlah anggota dengan suatu undang-undang yang diperbuat oleh Badan Perundangan Negeri.

Beliau berkata rang undang-undang itu akan berkuat kuasa pada tarikh pewartaannya dan komposisi DUN hanya akan berkuat kuasa pada pilihan raya umum akan datang.

“Rang undang-undang ini akan melibatkan kerajaan negeri dalam perbelanjaan wang tambahan yang jumlahnya pada masa sekarang belum dapat ditentukan,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan