Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,789

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

DUN Sabah Akan Bubar, Tubuh Dan Kelaskan Semula Hutan Simpan

9:17am 25/11/2016 Pak Roshan 642 views Berita Pilihan,Laporan Sidang DUN,Mutakhir

hutan

KOTA KINABALU : Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan pindaan pada Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) 1984 bagi membubarkan, menubuhkan dan mengkelaskan semula sejumlah hektar hutan simpan di negeri ini.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin berkata enakmen yang kini dikenali sebagai Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) (Pindaan) 2016 akan membubarkan lapan kawasan hutan simpan dengan keluasan 19,494.92 hektar dan menubuhkan 18 kawasan berkeluasan 8,522.38 hektar.

“Kawasan hutan simpan yang dicadang untuk dibubarkan terdiri daripada beberapa kelas Hutan Simpan dicadang untuk tujuan pembangunan komuniti dan ekonomi kerajaan.

“Cadangan pembubaran kawasan hutan simpan ini juga mengambil kira keadaan kawasan yang tersorot akibat pembalakan yang tidak dirancang dan kebakaran yang berulang serta pencerobohan lama,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang untuk meminda enakmen itu pada persidangan DUN di sini.

Menurut Ellron, kawasan hutan simpan yang dicadang dibubarkan itu di Kampung Hindian, Beaufort (83.62 hektar); Bonggaya, Beluran (1,174 hektar); Karakit, Kudat (lapan hektar); Sungai Lasun dan Pulau Evans, Lahad Datu (499.3 hektar); Paitan, Beluran (2,041 hektar); Pensiangan, Nabawan (5,000 hektar); Sugut, Beluran 5,689 hektar); dan Kuala Tomani, Tenom (5,000 hektar).

Beliau juga berkata sembilan kawasan Hutan Simpan Kelas 2 (Hutan Komersial dan Hutan Simpan Kelas 5 (Hutan Bakau) dengan keluasan 87,337.05 hektar akan dikelaskan semula kepada Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan) dan akan dipecahkan kepada 14 kawasan.

“Melalui proses pengkelasan dan penubuhan hutan simpan ini, kawasan Hutan yang Dilindungi Sepenuhnya (TPA) akan meningkat kepada 1,874,061.544 hektar bersamaan 25.46 peratus daripada muka bumi Sabah berbanding tahun lepas iaitu 1,770,030.314 hektar atau 24.17 peratus,” katanya.

Turut diluluskan pada persidangan ialah penubuhan Kumpulan Wang Amanah Bon.

Ketika membentangkan rang undang-undang itu, Pembantu Menteri Kewangan Negeri, Datuk Ramlee Marahaban berkata sejumlah dana akan dicarum ke dalam kumpulan wang amanah itu setiap tahun melalui bajet tahunan negeri.

“Pada 2014, kerajaan negeri telah menerima kelulusan Bank Negara dan Perbendaharaan Malaysia untuk menerbitkan bon,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan