Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,702

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Dua Pemancing Selamat Selepas Berenang Sembilan Jam Guna Jaket Keselamatan

2:52pm 28/03/2016 Pak Roshan 584 views Mutakhir,Tempatan,WP. Labuan

apmm1

LABUAN : Dua pemancing bersabung nyawa hampir sembilan jam apabila bot gentian kaca dinaiki mereka tiba-tiba bocor dan karam kira-kira dua batu nautika dari Tanjung Kubong di sini pada Sabtu malam.

Mereka terpaksa berenang selama tempoh itu dalam keadaan laut bergelora dengan hanya menggunakan jaket keselamatan dan berpegang pada kotak simpanan ais untuk sampai ke pantai Palm Beach Resort and SPA pada kira-kira 4 pagi Ahad.

Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan Kapten (Maritim) Che Adnan Md Isa berkata kedua-dua pemancing itu turun ke laut pada kira-kira 7 malam dari pantai Tanjung Kubong sebelum bot itu mengalami kebocoran beberapa minit kemudian.

Katanya sebuah bot pemintas segera digerakkan untuk operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) selepas menerima panggilan kecemasan daripada keluarga pemancing itu pada kira-kira 7.25 malam.

“Mangsa memberitahu kami bahawa bot mereka terlanggar satu objek keras semasa sedang bergerak laju dan hilang kawalan. Aparatus menyelam di dalam bot gagal berfungsi menyebabkan mereka terpaksa terjun ke laut apabila bot mereka karam dan mulai tenggelam,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut kedua-dua mangsa, kotak simpanan ais yang mereka berpegang sambil berenang ke tepi pantai turut membantu menyelamatkan mereka.

“Kami hanya berserah kepada Tuhan untuk menyelamatkan kami dalam keadaan laut bergelora kerana berenang di dalam keadaan laut sebegitu selama hampir sembilan jam bukannya mudah. Kami nampak bot penyelamat APMM tetapi keadaan terlalu gelap, dan mereka tidak dapat mengesan kami,” kata seorang daripada mangsa itu.

Che Adnan menasihatkan pemancing dan nelayan untuk sentiasa memastikan bot mereka dalam keadaan baik sebelum turun ke laut.

Sementara itu, kedua-dua mangsa diberikan rawatan kecemasan sebelum dibenarkan pulang ke rumah bersama-sama anggota keluarga mereka.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan