Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Dua klinik 1Malaysia dibuka di Kota Kinabalu

Klinik 1Malaysia  Warisan, Taman Canggih, Inanam.-  foto Monica Gidong
Klinik 1Malaysia Warisan, Taman Canggih, Inanam.- foto Monica Gidong

KOTA KINABALU – Kerajaan membuka dua buah lagi Klinik 1Malaysia di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu iaitu di Polytechnic Commercial Centre (PCC) Sepanggar dan Taman Canggih, Inanam yang mulai beroperasi sepenuhnya 1 Disember lalu.

Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Dr. Mohammad Saffree Jeffree berkata, dengan pembukaan dua klinik tersebut menjadikan kesemua klinik 1Malaysia sebanyak sembilan buah.

Menurutnya, Klinik 1Malaysia lain yang telah beroperasi ialah Klinik 1Malaysia Kepayan, Tanjung Aru Plaza, Kampung Likas, Darau, Sulaman Sentral, Taman Putera Jaya dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Dr. Mohammad Saffree berkata, Klinik 1Malaysia Taman Canggih memberikan manfaat perkhidmatan kesihatan asas kepada masyarakat Taman Bakti Ikhlas, Kampung Warisan dan Kampung Kalansanan.

“Bagi Klinik 1Malaysia PCC, kewujudannya memudahkan masyarakat Sepanggar dan ia secara tidak langsung mampu mengurangkan kesesakan kehadiran pesakit di Klinik 1Malaysia Sulaman Sentral dan Klinik Kesihatan Menggatal,” katanya di sini hari ini.

Katanya,  perkhidmatan Klinik 1Malaysia terbuka untuk semua golongan rakyat dengan caj minimum dikenakan RM1 bagi warganegara Malaysia caj bagi setiap lawatan dengan masa perkhidmatan setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 9 malam termasuk hari cuti umum (tertakluk kepada pengumuman) dan cuti hujung minggu.

Dr. Mohammad Saffree berkata, Klinik 1Malaysia diwujudkan untuk menyediakan perkhidmatan rawatan ringan kepada masyarakat bandar yang tinggi kepadatan penduduknya.

Menurutnya, perkhidmatan yang disediakan oleh Klinik 1Malaysia meliputi, perkhidmatan rawatan ringan seperti demam, batuk, demam selesema dan penyakit-penyakit ringan yang lain; susulan kes pesakit kronik yang stabil dan terkawal seperti susulan kes diabetes, darah tinggi dan asma; prosedur rawatan ringan seperti mencuci luka dan membuka jahitan; perkhidmatan ujian makmal ringkas (point of care test) seperti ujian gula dalam kapilari darah, ujian air kencing, ujian HIV (rapid test), ujian TB (mantoux test).

Selain itu ia juga memberikan perkhidmatan membuat notifikasi bagi penyakit berjangkit seperti demam denggi dan Tibi, menstabilkan pesakit sebelum dirujuk ke hospital berdekatan bagi kes kecemasan; memberi khidmat nasihat/ promosi kesihatan kepada pesakit dan perkhidmatan kesihatan ibu dan anak. – oleh Monica Gidong / SayangSabah

 

 

Komen


Berita Berkaitan