Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Dua Juta Hektar Hutan Simpan Komersial Di Bawah SFMLA – Musa

hutansimpansabah

KOTA KINABALU — Seluas dua juta hektar kawasan Hutan Simpan Komersial (Kelas II) diletakkan di bawah Perjanjian Lesen Jangka Panjang (SFMLA) selaras dengan dasar Pengurusan Hutan Mampan (SFM) Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata satu juta hektar lagi diurus tadbir secara langsung oleh Jabatan Perhutanan Sabah iaitu Hutan Simpan Deramakot, Hutan Simpan Ulu-Segama Malua, Trusmadi, Banggi, Pin Supu dan Tangkulap Pinangah.

“Hari ini sejumlah 30 SFMLA telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan negeri. Sebagai permulaan, kerajaan negeri juga telah mewajibkan semua SFMLA menggunakan kaedah pembalakan mesra alam iaitu ‘Reduced Impact Logging’ (RIL) dalam kawasan Pengurusan Hutan Asli (NFM) sejak tahun 2010 lagi,” katanya.

Musa berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Joniston Bangkuai (BN-Kiulu) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, Selasa.

Menurutnya setiap SFMLA juga perlu mensijilkan kawasan Unit Pengurusan Hutan (FMU) masing selewat-lewatnya pada tahun 2014 dan setakat ini kira-kira 860,000 hektar kawasan hutan simpan berkenaan telahpun dilesenkan.

Katanya daripada jumlah kawasan berkenaan, 386,607 hektar disijilkan di bawah sistem terunggul Forest Stewardship Council (FSC) manakala selebihnya di bawah persijilan Malaysian Timber Certificate Scheme (MTCS), Verification of Legal Origin (VLO) dan Verification of Legal Compliance (VLC).

Musa berkata melalui kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Sabah dan WWF-Malaysia, seluas 214,000 hektar hutan simpan juga telah diletakkan di bawah inisiatif Global Forest Trade Network (GFTN) ke arah pensijilan penuh.

Berhubung inisiatif pemulihan hutan simpan yang rosak akibat pembalakan berulang atau kebakaran, Ketua Menteri berkata ia merupakan aktiviti utama sektor perhutanan Sabah dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Katanya sehingga 2013, seluas 504,287.60 hektar kawasan hutan telah dipulihkan antara lain oleh Jabatan Perhutanan, Yayasan Sabah, Pemegang Lesen SFMLA dan Lembaga Industri Getah Sabah.

Komen


Berita Berkaitan