Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,655

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Dua Didakwa Beri Sokongan Kepada Kumpulan Pengganas Daesh

7:37pm 24/10/2016 Pak Roshan 943 views Jenayah,Mutakhir

daesh

KOTA KINABALU : Dua lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan cuba mendapatkan sokongan dan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Saifullah Sulaiman, 27, dan Md Ayub Idris, 32, sementara menunggu kebenaran bagi kes mereka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Saifullah menghadapi dua pertuduhan iaitu cuba mendapatkan sokongan dan memberi sokongan menerusi aplikasi telefon ‘Telegram’ di depan Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Bhd (Kopeks) di Jalan Ikan Juara Satu, Kompleks Sadong Jaya, di sini.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan iaitu cuba mendapatkan sokongan bagi kumpulan pengganas itu pada 29 Mac menerusi Telegram atas nama Ahadun Ahad alias Pornade Land.

Dia juga dituduh mengikut 130J(1)(b) Kanun Keseksaan iaitu memberi sokongan pada 25-29 Jun menerusi Telegram, terhadap perbuatan keganasan melibatkan penggunaan bahan letupan dengan niat untuk melanjutkan perjuangan ideologi yang secara munasabah boleh dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di Malaysia.

Setiap pertuduhan itu membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau pemenjaraan bagi tempoh tidak melebihi 30 tahun atau dengan denda dan juga boleh dirampas mana-mana harta benda yang digunakan atau diniatkan untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Md Ayub pula didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan bagi pertuduhan cuba mendapatkan sokongan terhadap kumpulan pengganas itu menerusi Telegram atas nama Shagrath alias Ihsahn.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada 30 Mac di B16-2-12, Taman Telipok Ria di Tuaran.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus menetapkan 21 Nov untuk sebutan semula kes dan tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ram Singh yang dibantu peguam Timothy Daut manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aida Fatimah Abd Jabar.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan