Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,775

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Dua Daripada 25 Senjata Api Dirampas Dalam ‘Ops Daulat’ Bukan Milik PDRM

8:46pm 23/11/2015 Pak Roshan 662 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

tanduo

KOTA KINABALU : Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa dua daripada 25 senjata api yang dirampas semasa ‘Ops Daulat’, operasi bagi mengusir keluar kumpulan bersenjata Sulu dari Lahad Datu, bukan milik Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Insp Yaem Duam dari Pejabat Persenjataan Tawau berkata berdasarkan pemeriksaan dan ujian yang dijalankannya, pelancar bom tangan dan sepucuk raifel M16 bukan milik PDRM.

“Terdapat juga beberapa butir peluru dan magazin yang bukan milik PDRM,” kata saksi itu.

Yaem memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan insiden pencerobohan oleh kumpulan lelaki bersenjata Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013.

Pegawai polis itu berkata beliau menerima senjata api dan peluru berkenaan daripada Sub Insp Aziz Samit untuk pemeriksaan dan ujian.

“Saya melakukan ujian ke atas semua 25 senjata api. Saya jalankan ujian terhadap pelancar bom tangan menggunakan katrij M203 bersaiz 40mm dan saya mendapati senjata api itu tidak berfungsi, iaitu ia tidak boleh melepaskan tembakan.

“Bagi raifel M16 yang bernombor siri RP028188, ujian dijalankan menggunakan peluru PDRM dan saya mendapati senjata api itu berfungsi dengan baik, iaitu ia boleh melepaskan tembakan,” katanya.

Yaem memberitahu mahkamah bahawa magazin berjenama ARMOURPLUS, satu daripada magazin rampasan yang dihantar kepadanya untuk ujian, bersesuaian dengan raifel M16.

Bagaimanapun, katanya ujian terhadap magazin dan raifel itu tidak disebutkan dalam laporan ujian kebolehkhidmatan yang disediakannya pada 4 April, 2013.

Semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Yaem berkata beliau tidak pasti sama ada laporan kebolehkhidmatan mengenai senjata api dan peluru itu ada kaitan dengan laporan polis membabitkan seorang wanita yang cedera akibat tembakan di Semporna.

“Semasa saya menerima barang kes itu, saya hanya merujuk kepada borang permintaan untuk memeriksa dan menguji barang kes berkenaan.

“Semasa menerima barang kes itu, tidak ada sebarang salinan laporan polis diserahkan kepada saya bersama barang kes,” katanya.

Seramai 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan menghadapi satu hingga pelbagai tuduhan menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April 2013.

Perbicaraan di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan