Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Dr Mahathir tidak sayangkan Sabah

DATUK Seri Najib Razak menyampaikan ucapan pada Majlis Bersama Rakyat di Dewan Hongkod Koisaan, di Penampang, malam ini. – Foto Edmund Samunting

 

PENAMPANG: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan ketidakhadiran Tun Dr Mahathir Mohamad ke Sabah sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukti calon pakatan pembangkang Parlimen Langkawi itu tidak mementingkan keperluan rakyat Sabah.

Perdana Menteri berkata, jika Dr Mahathir mahu menjadi Perdana Menteri semula, beliau sepatutnya datang ke Sabah untuk bertemu rakyat negeri ini.

“Tetapi yang peliknya dia tidak mahu datang ke Sabah, namun mahu jadi Perdana Menteri semula. Tidak ada satu hari pun dia turun Sabah untuk berkempen dan bertemu ‘urang-urang’ (orang) Sabah.

“Kenapa dia tidak datang Sabah? Mana boleh jadi Perdana Menteri kalau tinggalkan Sabah… ini bermakna dia tidak fikir orang Sabah dan dalam hatinya dia tidak sayangkan orang Sabah selama ini.

“Saya walaupun baru sembilan tahun jadi Perdana Menteri, saya bukan saja sayangkan rakyat Sabah, malah membawa banyak pembangunan di negeri ini,” katanya pada Majlis Bersama Rakyat di Dewan Hongkod Koisaan di sini, malam ini.

DATUK Seri Najib Razak bergambar beramai-ramai selepas Majlis Bersama Rakyat, di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang. Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman serta Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Pairin Kitingan. – Foto Edmund Samunting

 

DATUK Seri Najib Razak bersalaman dengan orang ramai katika hadir pada Majlis Bersama Rakyat, di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang. Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman serta Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Pairin Kitingan. – Foto Edmund Samunting

 

Yang turut hadir, Ketua Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) yang juga Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan

Majlis itu turut dihadiri calon BN Parlimen Penampang, Ceasar Mandela Malakun; calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kapayan, Datuk Francis Goh dan calon BN DUN Moyog, Datuk Donald Mojuntin, serta lebih 5,000 penduduk Penampang.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, selama menjadi Perdana Menteri apa saja permintaan daripada Ketua Menteri Sabah untuk pembangunan negeri ini, tidak pernah ditolak.

“Ini kerana Sabah amat memerlukan peruntukan tambahan. Bukan itu saja, malah saya masukkan dalam Manifesto BN bahawa kalau kita ada ambil hak rakyat Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kita sedia untuk kembalikan,” katanya.

Sehubungan itu, Najib meminta rakyat Sabah agar terus memberi mandat kepada BN pada hari pengundian Rabu ini bagi membolehkan lebih banyak pembangunan ke negeri ini.

“Saya mempunyai perancangan yang besar untuk Sabah dan rakyatnya. Kita mahu membina masa depan lebih hebat lagi bersama BN dan ia akan lebih hebat jika kita mendapat mandat yang penuh.

“Sebab itu saya merayu, tolong bagi saya mandat yang kuat pada malam 9 Mei ini. Saya mahu menubuh kerajaan yang kuat di peringkat nasional untuk membantu orang Sabah, dan tolong berikan saya Parlimen Penampang semula,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 1,000 pemimpin dan ahli Parti Warisan Sabah (WARISAN) serta Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Penampang meninggalkan parti masing-masing dan menyertai BN. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan