Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,647

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Dr Mahathir Tiada Hak Campuri Urusan UMNO – Salleh

2:43pm 20/03/2016 Pak Roshan 78 views Berita Pilihan,Mutakhir,Politik
salleh-3-600x450

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Mohd Salleh Tun Said Keruak

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiada hak untuk mencampuri urusan UMNO kerana beliau sudah mengisytiharkan keluar daripada parti itu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Menurutnya Dr Mahathir mengungkit semula cerita lama, mengulang perkara yang sudah pun dijawab dengan jelas dan mengkritik parti dengan pelbagai tohmahan, sedangkan beliau sudah meninggalkan perjuangan itu.

“Pendirian Dr Mahathir nampak semakin kontradiksi. Surat terbuka yang ditulisnya jelas menunjukkan niat untuk hancurkan UMNO. Tulisannya penuh dengan dendam pada (perdana menteri) Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak,” kata Salleh dalam catatan di blognya, sskeruak.blogspot.com hari ini.

Menteri itu berkata jika niat Dr Mahathir ikhlas untuk mempertahankan UMNO, beliau sepatutnya tidak bersubahat dengan kumpulan yang menjadi musuh politik UMNO selama ini.

Salleh berkata: “Berpakat dengan musuh-musuh ini untuk menumbangkan kerajaan yang dipilih secara demokratik, jelas bukan untuk menyelamatkan Malaysia, tapi menghancurkannya.

“Tun Dr Mahathir dan kumpulannya cuba mencari jalan singkat menjatuhkan kerajaan. Mereka tidak mengikut saluran demokrasi, yang menjadi amalan di Malaysia sejak merdeka dan tidak sabar menunggu proses pilihan raya,” katanya.

Menerusi penulisannya itu, Salleh berkata Dr Mahathir mempunyai cita-cita dan agenda politik yang tinggi.

“Dia cuba menunjukkan bahawa dia lebih baik daripada Najib, malah menyamakan kebaikan dirinya dengan beberapa perdana menteri sebelum ini, walhal sikapnya tidak menggambarkan keperibadian sebenar.

“Buktinya, Dr Mahathir tidak mahu mendengar dan tidak mahu menerima apa juga jawapan atau penjelasan yang tidak memenuhi kehendaknya,” kata beliau.

Pada 29 Feb lepas, Dr Mahathir mengumumkan keluar daripada UMNO selepas dilaporkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan ketika ini. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan