Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Dr. Mahathir Tak Turun Kempen Di Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU – Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata pilihan raya umum kali ini bakal mencatatkan sejarah apabila calon yang berhasrat menjadi perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak turun berkempen di Sabah dan Sarawak setakat ini.

Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata dalam konteks Sabah, ini membuktikan wujud kerjasama antara Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Dr Mahathir. 

Menurutnya, Mohd Shafie tidak mahu Dr Mahathir datang ke Sabah kerana khuatir ia akan mengurangkan undi kepada Warisan manakala rakyat negeri ini mungkin akan mempersoalkan kehadiran Dr Mahathir di negeri ini.

Baru-baru ini pada forum di Kuala Lumpur, Dr Mahathir didakwa menghina rakyat Sabah dan Sarawak apabila menyifatkan rakyat di kedua-dua negeri itu sebagai pemalas sehingga menjadi punca negeri berkenaan ketinggalan berbanding Semenanjung.

“Shafie Apdal perlu ‘gentleman’ beritahu orang-orang Kadazandusun Murut, Cina dan Bajau bahawa inilah calon (Dr Mahathir) untuk menjadi perdana menteri.

“Sampai sekarang Tun Mahathir tidak lagi memijak kaki di Sabah dan ini adalah sejarah pertama apabila calon perdana menteri tidak mahu melihat rakyat di Sabah dan Sarawak. Itulah perangai Tun, dari dulu (semasa menjadi perdana menteri selama 22 tahun) Sabah dan Sarawak tidak menjadi keutamaannya,” katanya.

Abdul Rahman yang juga calon BN kawasan Parlimen Sepanggar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan zakat dan bantuan subsidi padi bukit di sini, hari ini.

Beliau berkata rakyat Sepanggar tidak berminat dengan isu termasuk Perjanjian Malaysia 1963 yang dimainkan pihak pembangkang khususnya Warisan untuk meraih undi.

Katanya penduduk di kawasan itu hanya berminat untuk mendengar perancangan parti yang menjadi kerajaan untuk pembangunan mereka.

“Mereka (penduduk) hanya berminat untuk mendengar perancangan pembangunan kampung dan infrastruktur di Sepanggar. Tetapi Warisan berkempen dengan cara yang amat jijik,” katanya.

Abdul Rahman berkata sokongan padu penyandang kerusi Parlimen Sepanggar Datuk Jumat Idris menjadikan BN sebuah keluarga yang besar dan menurutnya Jumat merupakan antara orang yang memperkasakan UMNO di Sepanggar yang sebelum ini dikuasai SAPP.

Katanya, Jumat juga akan turun padang untuk membantu beliau berkempen bagi menjelaskan perancangan kerajaan seterusnya memastikan BN sentiasa menjadi pilihan rakyat di kawasan itu. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan