Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,651

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

‘Doktor’ pasport palsu tumpas

10:12am 11/02/2016 Pak Roshan 16 views Global
SEBAHAGIAN pasport palsu yang dirampas dalam serbuan di rumah ‘Doktor.’

SEBAHAGIAN pasport palsu yang dirampas dalam serbuan di rumah ‘Doktor.’

Bangkok: Polis Thai semalam membongkar sindiket besar membuat pasport palsu yang diketuai seorang lelaki Iran yang digelar ‘Doktor.’

Hasil siasatan yang dilakukan selama lima tahun membolehkan polis membongkar kegiatan Hamid Reza Jafary yang didakwa bertanggungjawab membuat pasport palsu untuk dihantar kepada ribuan pelanggannya di Asia Barat yang cuba memasuki Eropah.

Menurut polis, Hamid, 48, sudah sekian lama terbabit dalam pembikinan pasport palsu di kediamannya di wilayah Chachoengsao, timur Bangkok.

“Dia membuat pasport palsu untuk pelanggannya dari pelbagai negara, termasuk Iran, Syria dan Afghanistan yang mahu ke Eropah kerana kekacauan di negara masing-masing,” kata ketua polis imigresen Leftenan Jeneral Natathorn Prousoontorn.

Menurutnya, pelanggan biasanya akan menghantar gambar mereka menerusi e-mel kepada ‘Doktor’ itu dan menyatakan pasport negara yang mereka inginkan.

“Hamid memberi jaminan kepada pelanggannya bahawa pihak berkuasa sempadan tidak akan mengesan pasport itu palsu,” kata Natathorn.

Dokumen palsu itu kemudian dihantar menerusi syarikat kurier swasta.

Bagaimanapun, polis tidak dapat mengesahkan sama ada ‘Doktor’ terbabit menyediakan pasport kepada pelarian yang melarikan diri ke Eropah dalam krisis pendatang ketika ini.

“Dia sendiri menggunakan enam pasport berbeza – tiga dari Brazil, masing-masing satu dari Peru, Portugal dan New Zealand. Dia dikehendaki oleh agensi keselamatan beberapa negara, khususnya Kesatuan Eropah dan Jepun,” kata Nathathorn.

Sementara itu, seorang pegawai imigresen Thai yang enggan namanya disiarkan berkata, kualiti pasport palsu yang dihasilkan Hamid adalah yang terbaik.

Bagaimanapun, dia tidak mampu untuk memalsukan dokumen perjalanan cip mikro terbaru.

Lima orang tengah warga Pakistan juga ditahan dalam serbuan di sekitar Bangkok kerana membantu sindiket pemalsuan itu.

Setiap pasport palsu itu dijual kepada pelanggan di seberang laut sehingga 80,000 baht (RM9,300).

Hampir 200 pasport yang ditemui selepas serbuan di rumah Hamid adalah palsu sementara yang lain dicuri daripada pelancong dan diubah suai.

Setiap tahun, ribuan pasport dilapor hilang di Thailand, tempat pelbagai dokumen palsu boleh dibeli di jalan raya. – Agensi/HMetro

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan