Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Doa keluarga termakbul

BERSYUKUR….. Zakriah ketika ditemui media di rumah mereka di Kampung Tinuhan, Tengilan Tuaran. – foto SAYANGSABAH
BERSYUKUR….. Zakriah ketika ditemui media di rumah mereka di Kampung Tinuhan, Tengilan Tuaran. – foto SAYANGSABAH

TUARAN – Ahli keluarga dan saudara mara Lans Koperal Zakiah Aleip mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia atas usaha membebaskan anggota Polis Marin itu dari tahanan penculik di selatan Filipina.

Abang sulung anggota polis itu, Zakriah Aleip, 32, berkata mereka sekeluarga berasa amat bersyukur apabila dimaklumkan mengenai pembebasan adiknya itu oleh pihak berkuasa pagi tadi.

“Kami sekeluarga tidak mengetahui mengenai tarikh dan masa adik saya dibebaskan sehinggalah dihubungi oleh pihak berkuasa awal pagi tadi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tinuhan, Tengilan dekat sini hari ini.

Katanya, mereka juga tidak menyangka kenduri doa selamat dan ulangtahun pertama anak Zakiah beberapa hari lepas, bagi mendoakan keselamatan selain berdoa agar Zakiah segera pulang ke pangkuan keluarga termakbul.

Zakiah yang dibebaskan lewat tengah malam semalam, selamat tiba di Sandakan pada jam 7.30 pagi Sabtu dengan bot dan diiringi oleh pihak berkuasa polis, sebelum berlepas menaiki pesawat ke Kota Kinabalu.

Mengimbas kembali semasa adiknya ditahan, Zakriah berkata, setiap hari dia terpaksa sembunyi perasaan risau dan gelisah daripada pengetahuan keluarga lain.

“Sebagai abang sulung, saya cuba tunjuk semangat, keyakinan serta kesabaran terutama di hadapan ibubapa biarpun hati sangat sedih dan risau dengan kejadian culik itu,” katanya.

“Adakalanya saya menangis sendirian di dalam bilik bila terkenang dengan nasib yang menimpa Zakiah,” tambahnya.

Menurutnya, jaminan berterusan pihak berkuasa bahawa adiknya dalam keadaan sihat dan selamat sepanjang ditahan turut dijadikan sebagai pembakar semangat mereka sekeluarga untuk setia menunggu kepulangannya.

Zakiah yang bertugas di cawangan Polis Marin  diculik sekumpulan lapan lelaki bersenjata ketika melakukan rondaan di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna pada 12 Julai tahun lepas.

Dalam kejadian jam 11.10 malam itu, rakan setugasnya Koperal Ab. Rajah Jamuan, 32, terbunuh selepas ditembak oleh penculik dari selatan Filipina.
– Oleh NUZIR ANDI SAMSIAR / Sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan