Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Didiklah Anak Anda Berpuasa Bukan Sekadar Lapar Dan Dahaga (Siri 2)

Gambar Hiasan

 

Ramadan bulan yang terbaik untuk mendidik asset paling bernilai kita iaitu anak-anak yang dikurniakan kepada para ibu bapa.

#4- Bersederhana

Ramadan adalah bulan yang penuh ujian dalam mengawal nafsu terutamanya nafsu makan. Jika tidak dikawal, Ramadan akan menjadi pesta makan dan minum yang membawa kepada pembaziran.

Membuat Perancangan Sebelum Berbelanja

Sebelum mengunjungi Bazar Ramadan, rancang dengan anak-anak terlebih dahulu apa yang hendak dibeli mengikut citarasa masing-masing supaya kita dapat membataskan nafsu kita dari berbelanja berlebih-lebihan.

Berlebih-lebihan ini akan membawa kepada pembaziran. Ini juga adalah satu amalan yang tidak sepatutnya berlaku baik di bulan Ramadan atau bulan-bulan lainnya. Didiklah keluarga dan anak-anak kita untuk bersederhana ketika berbuka.

Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA);

Rakyat Malaysia membuang makanan sehingga 8,000 tan atau 800,000 kilogram sehari dan jumlah itu mampu menampung bekalan makanan untuk enam juta orang.Sumber BERNAMA

Rancang Keperluan Hari Raya

Rancang awal dengan anak-anak supaya anak-anak nampak kepentingan bersederhana yang kita titik beratkan menjelang Aidilfitri.

Ibu bapa adalah role model yang terbaik anak-anak, kiranya dari kecil mereka didididk untuk besederhana dan hidup dengan sederhana, amalan itu juga akan menjadi ikutan mereka apabila dewasa kelak.

#5- Menepati Masa

Ramadan adalah satu-satunya bulan di mana masa adalah sangat dihargai dan dihormati oleh semua. Kita akan sentiasa pastikan yang kita tidak lewat walau sesaat pun untuk berbuka puasa.

Kita juga akan sentiasa pastikan yang kita tidak melepasi walau sesaat selepas waktu Subuh supaya puasa kita tidak terbatal.

Galakkan Amalan Menepati Masa

Jadikan amalan “tidak lewat walau sesaat” sebagai amalan yang berterusan walau di luar Ramadan. Tidur awal agar dapat bangun tepat pada waktunya, supaya tiada adegan terlepas sahur.

Berbicaralah dengan anak-anak tentang kepentingan masa di dalam Islam kerana Allah SWT telah berjanji dengan masa di dalam Surah Al Asr.

Masa Mendidik Sifat Amanah

Ajarilah anak bahawa menepati masa bukanlah hanya untuk diri kita sahaja, malah kita juga patut menghormati masa orang lain.

Latihlah diri supaya menepati masa kiranya berjanji dengan seseorang atau berjanji untuk menyelesaikan sesuatu tugasan.

#6- Merendah Diri

Ramadan adalah bulan yang menyaksikan umat Islam seluruh dunia menunaikan rukun Islam yang ketiga.

Wujudkan kesedaran dalam diri anak bahawa umat Islam tidak kira miskin, kaya, tua, muda dari pelbagai warna kulit dan bangsa semuanya turut sama berpuasa sebagaimana kita.

Mendidik Sifat Kemanusiaan

Sedikit pendidikan kemanusiaan dapat mendedahkan anak-anak kepada kesukaran dan penderitaan yang dialami oleh mereka yang melalui kehidupan yang tidak sebaik keluarga kita baik di dalam negara mahupun di luar negara, tidak kira apa bangsa dan agama sekalipun.

Melihat Realiti Sebenar

Pada bulan Ramadan ini, carilah peluang untuk membawa anak-anak melihat kehidupan sukar sesetengah ahli masyarakat supaya anak-anak faham dan cakna kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh orang lain. Pendedahan ini akan mewujudkan rasa merendah diri dan bersyukur dengan apa yang telah dimiliki.

#7- Hormat-Menghormati

Mulakan hormat menghormati sesama ahli keluarga. Orang Asia secara umumnya mempunyai panggilan khas kepada orang yang lebih tua.

Contohnya pak cik, mak cik, abang, dan kakak yang mudah mewujudkan rasa hormat di dalam keluarga. Galakkan panggilan mengikut pangkat ini di dalam keluarga.

Suri Teladan

Anak-anak belajar untuk menghormati orang lain apabila mereka melihat kita sebagai ibu bapa mengamalkan hormat menghormati sesama manusia.

Sedarlah, dalam kita berurusan dengan orang ramai pada bulan Ramadan, tidak kiralah di bazar Ramadan ketika berbeli juadah berbuka, di bank ketika mengeluarkan wang, di sekolah sebagai guru atau sebagai ibu bapa, di jalan raya ketika hantar atau ambil anak dari sekolah, di pasar raya membeli belah untuk Hari Raya, anak-anak memerhatikan tingkah laku kita sepanjang masa.

Walaupun kita menggalakkan anak-anak untuk menghormati orang lain, perbuatan kita akan lebih menjadi ikutan berbanding perkataan kita.

Dalam bulan penuh barakah ini, didiklah diri kita supaya menjadi suri teladan terbaik untuk anak-anak. Sebagai manusia, kadang-kadang kita juga melakukan kesilapan di hadapan anak-anak.

Contohnya ketika stres di jalan raya. Cepat-cepatlah akui kesilapan kita itu dan nasihatilah anak supaya tidak melakukan kesilapan yang sama.

Didiklah Untuk Mengucapkan Terima Kasih

Ucapkan kepada sesiapa sahaja yang memberi bantuan atau perkhidmatan contohnya pekedai, penghantar surat khabar, pekerja dobi, peniaga kantin, polis trafik, pemandu teksi dan sesiapa sahaja tanpa mengira pangkat dan darjat.

#8- Empati

Ramadan mendidik kita dan anak-anak untuk merasai penderitaan dan kesusahan orang lain. Berkongsilah dengan anak-anak cerita tentang mereka yang ‘berpuasa’ sepanjang masa walau di luar bulan Ramadan kerana ketiadaan makanan dan minuman untuk dijamah.

Hikmah Zakat

Terangkan kepada anak-anak penekanan Islam kepada pemberian zakat yang merupakan rukun Islam yang keempat.

Saidina Abu Bakar r.a sendiri memerangi mereka yang tidak menunaikan zakat. Zakat dapat membantu meringankan bebanan mereka yang memerlukan bantuan.

Galakkan Bersedekah Walaupun Sedikit

Jadikan Ramadan bulan latihan yang akan membentuk sifat bermurah hati dan memberi yang berkekalan.

Ramai anak-anak kecil dan remaja yang dilihat mensedekahkan sebahagian duit Raya mereka kepada individu dan pertubuhan yang membantu mereka yang di dalam kesusahan dan memerlukan bantuan.

Selain dari menyumbangkan zakat dan sedekah melalui para amil, masjid dan sebagainya, anak-anak boleh dibawa untuk bersama-sama terus memberikan sumbangan kepada orang-orang miskin dan yang memerlukan.

Impak pengalaman melihat sendiri nasib mereka yang kurang bernasib baik ini sangat tinggi ke atas hati anak-anak. Insya-Allah mereka akan lebih prihatin dan sentiasa mahu terus membantu dan bermurah hati

Galakkan Anak Anda Ringan Menyumbangkan Tenaga

Didik anak anda ringan menyumbang tenaga yang mereka miliki untuk digunakan di jalan kebaikan. Berbuat baik dan tolong menolong sesama insan tidak kira warna kulit, bangsa dan agama adalah fitrah manusia.

Anak-anak kecil secara semulajadinya sangat bermurah hati dan suka membantu. Amalan tersebut perlu sentiasa dipupuk dan digalakkan sehingga dewasa.

Samalah-samalah kita mengambil peluang pada bulan Ramadan yang mulia ini untuk membentuk akhlak dan sifat positif dalam diri anak-anak dan juga diri kita sendiri.

Semoga keluarga kita dan semua umat Islam di seluruh dunia memperolehi baraqah dari Ramadan kali ini. Selamat Menunaikan Ibadah Puasa di Bulan Ramadan.

(Sumber: Tazkirah.net oleh Noor Afidah Abu Bakar)

Komen


Berita Berkaitan