Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Didiklah Anak Anda Berpuasa Bukan Sekadar Lapar Dan Dahaga (Siri 1)

Gambar Hiasan

 

Ramadan adalah bulan yang sangat istimewa untuk umat Islam. Walaupun tidak diwajibkan bagi anak-anak kecil berpuasa, ramai yang teruja meraikan Ramadan dan turut berpuasa bersama-sama ibu bapa, abang, dan kakak yang telah dewasa.

Bulan Ibadah Dan Bulan Berbuat Kebaikan

Selain solat fardu, sunat tarawih, tadarus Al Quran, dan berpuasa yang menjadi ibadah dan amalan yang sangat diberi penekanan pada bulan Ramadan ini, pembentukan akhlak dan karakter anak-anak dan ibu bapa, juga perlu diberi tumpuan.

Pelbagai aktiviti dan amalan pada bulan Ramadan yang menyediakan peluang untuk melatih sifat positif dalam diri anak yang diharapkan dapat berterusan sehingga selepas bulan Ramadan.

#1- Patuh

Solat Sebelum Puasa

Sebelum melatih anak untuk berpuasa, latihlah anak bersolat terlebih dahulu. Solat menjadi lambang kepatuhan seorang Muslim kepada suruhan Allah SWT.

Mendidik anak untuk berpuasa kerana kepatuhan kepada Allah SWT lebih bermakna berbanding berpuasa kerana inginkan ganjaran semata-mata. Wujudkan motivasi intrinsik (dalaman) di dalam diri anak untuk berpuasa kerana Allah SWT.

Pujilah Sebarang Usaha Anak Ketika Bulan Ramadan. Baik dari segi solatnya atau puasanya yang dilakukan kerana Allah SWT.

Wujudkan Juga ‘Connection’ Dengan Anak-Anak

Melakukan ibadah yang boleh dilakukan bersama-sama sebagai satu keluarga, contohnya solat berjemaah, tarawih di masjid bersama-sama (jika berpeluang kerana mungkin ada kesukaran jika anak masih terlalu kecil).
Bagi anak kecil yang berpuasa, layanlah karenah mereka, fahamilah kesukaran yang mungkin mereka lalui walaupun puasa mereka adalah secara sukarela dan tidak kita paksa.

Jadikan puasa satu ibadah yang menyenangkan dan menggembirakan anak-anak terutamanya ketika waktu berbuka. Sediakanlah juadah yang menjadi kegemaran anak, baik yang baru berlatih ataupun anak dewasa.

Berbukalah Bersama-Sama

Pastikan tiada gangguan dari televisyen atau gajet kerana inilah peluang untuk kita ‘bond’ bersama anak-anak.

Kajian yang dibuat oleh The National Center on Addiction and Substance Abuse, Columbia University mendapati bahawa keluarga yang sering makan bersama-sama melahirkan anak-anak yang tinggi jati diri, kurang depresi, kurang penglibatan dengan penyalahgunaan dadah, dan berprestasi tinggi dalam pembelajaran.

‘Connection’ yang diwujudkan melalui ibadah dan amalan kerana Allah SWT Insyaa Allah akan mewujudkan kepatuhan anak kepada kita juga sebagai ibubapa.

Tanpa ‘connection’, kepatuhan agak sukar untuk dibentuk. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.

#2-Bertanggungjawab

Anak-anak akan kenal erti tanggungjawab apabila dari kecil lagi mereka diamanahkan dengan tanggungjawab.

Mewujudkan Kerjasama

Pada bulan Ramadan, wujudkan kerjasama di antara anak-anak dalam menyelesaikan tugasan di rumah.

Tugasan merangkumi aktiviti mengemas, membantu dalam pembelajaran, ‘babysit’ adik yang masih kecil, persediaan untuk berbuka, persediaan untuk sahur, membasuh, menyidai dan melipat kain, dan sebagainya.

Akui Rasa Letih, Lapar Dan Dahaga

Rasa ini mungkin dialami oleh anak-anak, anda perlu memahami dan saling memberi sokongan antara satu sama lain.

Apabila ahli keluarga saling memahami, akan wujud perasaan ingin saling membantu dan bekerjasama untuk meringankan kepenatan yang dirasai. Wujudkan jadual tugasan yang diperbincangkan dan dipersetujui bersama dalam mesyuarat keluarga.

Membahagikan Tugasan

Tugasan mestilah mengikut kesesuaian usia supaya semua terlibat.

Pembahagian tanggungjawab di dalam keluarga akan mewujudkan ‘sense of belonging’ yang akan sentiasa mendorong anak-anak bekerjasama dan ingin membantu antara satu-sama lain.

Mewujudkan Jadual Khusus

Oleh kerana aktiviti bulan Ramadan adalah berbeza dari bulan-bulan yang lain, anak-anak juga perlu dididik untuk bertanggungjawab terhadap diri sendiri dengan mengadakan jadual khas untuk Ramadan.

Bincang dengan anak jadual harian yang merangkumi waktu untuk menyiapkan tugasan sekolah, waktu bertadarus, waktu bermain atau aktiviti bebas, waktu Tarawih dan aktiviti yang dirasakan sesuai untuk anak.

Rasa bertanggungjawab tidak boleh dipaksa. Ia hanya boleh terbina dalam diri anak dengan sandaran sistem nilai utuh yang dibina di dalam keluarga dan masyarakat.

#3- Jujur

Pada bulan Ramadan, terdapat banyak mesej dan teladan yang baik di persekitaran kita yang menjadi pendorong untuk berbuat kebaikan.

Memberikan Galakan

Galakkan anak-anak untuk memfokuskan kepada segala yang positif di persekitaran mereka untuk diambil iktibar.

Bahagian otak manusia yang dinamakan Recticular Activating System akan berfungsi untuk menyaring perkara-perkara positif untuk diamalkan (rujuk posting terdahulu).

Galakkan anak-anak untuk berlaku jujur dalam perkataan dan perbuatan. Tekankan tentang kepentingan untuk bercakap benar dan tidak berbohong.

Amalan berpuasa itu sendiri menggalakkan kita untuk ikhlas dan jujur dalam menjalankan ibadah berpuasa.

Contohnya, sekiranya anak yang berpuasa minum air dengan sengaja ketika mandi atau melakukan lain-lain perkara yang membatalkan puasa, kita mungkin tidak akan tahu, namun Allah Maha Mengetahui.

Berpuasa kerana kepatuhan kepada Allah SWT akan mewujudkan kejujuran dan keikhlasan dengan sendirinya.

Ingatkan anak-anak hadis Rasulullah SAW;

“Dari Ibnu Mas’ud ra. Berkata, Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan, Dan kebaikan itu membawa ke syurga. Seseorang akan selalu bertindak jujur sehingga ia ditulis di sisi Allah SWT sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seseorang akan selalu berdusta sehingga ia ditulis di sisi Allah swt sebagai pendusta”Bukhari dan Muslim

Berikan Pujian

Sekiranya mereka berlaku jujur dan sebutkan dengan terperinci tentang kejujuran yang diamalkan supaya menjadi motivasi kepada mereka untuk terus jujur dalam perbuatan dan perkataan.

Rasululah SAW sendiri dikenali sebagai Al Amin iaitu seorang yang amanah dan jujur. Berkongsi cerita sirah Rasulullah SAW, para Rasul dan sahabat pada bulan Ramadan dapat mendorong anak-anak untuk mencontohi tingkah laku mereka.

(Sumber: Tazkirah.net oleh Noor Afidah Abu Bakar)

Komen


Berita Berkaitan