Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Dia Bukan Firaun Dan Kau Pula Bukan Nabi Musa

Gambar Hiasan

 

Suaranya ditekan dengan tinggi;

“Saya setuju benar! Wanita yang tidak menutup aurat sama ada dia gila, belum baligh atau kafir”

Saya menunjuk jari telunjuk saya ke arah seorang remaja perempuan yang sedang berjalan tidak berapa jauh di hadapan tempat kami berbual. Remaja wanita itu berbaju T dan berseluar jean. Saya berkata;

“Bagaimana dengan wanita itu?”

“Mengapa?”

Saya bertanya lagi;

“Dia tidak menutup aurat, bukan? Tolong nyatakan siapa dia? Dia belum baligh, gila atau kafir?”

“Salah satu daripada tiga golongan itu.”

Saya mengasak minta kepastian;

“Yang mana satu? Kafir?”

Dia menjawab dengan menggelengkan kepala.
Tanya saya lagi;

“Gila?”

Dia masih diam. Saya yakin naluri hatinya tidak sanggup menghukum begitu. Ya, sejak tadi kami berbual tentang sebuah poster yang terentang di tepi jalan di taman perumahan kami. Poster yang sederhana besar itu terpampang ‘gah’ dengan kata-kata;

“Wanita yang tidak menutup aurat itu sama ada belum baligh, gila atau kafir.”

Dia sangat bersetuju dengan maksud poster itu. Sebaliknya saya tidak. Pada saya ayat itu terlalu kasar untuk menyeru wanita menutup aurat. Dia berkata;

“Kita perlu tegas.”

Saya balas;

“Saya setuju. Tetapi itu bukan tegas. Keras. Terlalu keras,”

“Kita tidak boleh berlembut lagi. Hukum menutup aurat jelas termaktub dalam al-Quran. Menolaknya jadi kafir.”

Saya berkata;

“Saya tidak bercakap dalam konteks hukum tetapi bagaimana hendak mendidik manusia agar mematuhi hukum. Saya bercakap tentang dakwah. Dakwah perlukan sikap yang lemah lembut dan hikmah.”

Dia menjawab sambil mengejek;

“Saya kira sikap macam saudara inilah yang menyebabkan hukum Islam dipijak-pijak dan diinjak-injak. Mengalah, mengalah. Itu bukan lemah lembut tetapi lemah lembik!”

Saya diam. Mencari-cari kata untuk bersuara. Namun, jauh di sudut hati saya telah membuat janji pada diri. Api tidak akan dilawan dengan api. Maksudnya, saya tidak akan melenting, marah dan meninggikan suara dalam menghadapinya.
Kilas saya perlahan;

“Lemah lembut bukan seperti agar-agar sebaliknya seperti air”

Katanya dengan nada sinis;

“Awak belajar dari air? Hebat.”

Tanpa melayan provokasinya saya terus berkata;

“Air memang lembut tetapi batu yang keras boleh lekuk dan dapat ditembusinya.”

“Okey, kalau begitu. Cuba berikan ayat yang awak rasa sesuai.”

Segera saya membalas;

“Tutup aurat supaya selamat,”

Dia ketawa berdekah-dekah. Saya terdiam. Terasa juga kata-kata itu terlalu simple dan direct. Saya bertanya kepadanya pula;

“Kalau awak pula?”

“Dedah aurat akan dilaknat!”

Saya senyum sambil merenung wajahnya. Die menerjah saya bertubi-tubi;

“Apa? Kasar? Kutuk? Menghina?”

Saya masih tidak bersuara. Terasa diri seperti punching bag yang ditinju berkali-kali.

“Pada saya wanita yang mendedahkan aurat layak dan patut dikutuk. Mereka derhaka terhadap perintah Allah Pencipta mereka.”

Saya mengeluh perlahan;

“Awak membenci…”

“Ya saya membenci orang yang melakukan kemungkaran. Kebencian semacam itu adalah daripada iman.”

Tanya saya, mula ‘menyerang’ setelah sekian lama bertahan.

“Awak benci pendedahan aurat atau orang yang mendedahkannya?”

“Saya bendi kemungkaran dan pelakunya, kedua-duanya. Setiap bernama mungkar saya membencinya.”

“Maaf, saya rasa itu kurang tepat. Kita perlu benci kemungkaran. Itu saya setuju. Tetapi kita tidak boleh membenci pelakunya.”

Tiba-tiba saya teringat kata-kata yang pernah saya masukan dalam Facebook;

“Dengan kebencian kita mencegah kemungkaran tetapi dengan kasih sayang kita mendidik manusia yang melakukannya. Dakwah itu menanam rasa bersalah dalam diri pendosa, bukan rasa dipersalahkan oleh pendakwah kerana dosanya.”

Dia mengasak saya kembali;

“Mengapa tidak boleh?”

“Tanpa kebencian, dengan kasih sayang, kita boleh mendekati, menyeru dan berdakwah kepada pelaku kemungkaran. Kita cuba fahami dan selami hati dan fikiran orang yang melakukan kemungkaran.”

“Selami dan fahami hati dan fikirannya. Maaflah tidak ada masa. Mustahil mereka tidak faham-faham lagi yang dedah aurat itu haram!”

“Pendakwah sentiasa melapangkan masa untuk orang yang hendak diserunya. Nabi Nuh telah meluangkan masa 950 tahun untuk menyeru umat baginda. Pendakwah mesti bertindak untuk memahami dahulu orang yang hendak diserunya kemudian barulah seruannya difahami.”

“Apa lagi yang perlu kita faham tentang wanita-wanita ini?”

“Kita perlu memahami dan menyelami sebab mereka mendedahkan aurat. Apakah kerana mereka jahil, tidak mampu melawan hawa nafsu, ada kepentingan atau ada fahaman salah yang menjadi pegangan mereka sebagai prinsip hidup?”

“Wah, begitu terperinci. Sukar benar untuk menjadi pendakwah.”

Saya tidak pasti kata-katanya itu satu pengakuan atau masih satu sindiran. Biarlah. Saya tidak mahu, dan tidak perlu ‘menghukum’. Saya berkata;

“Untuk mengubah benda yang bersifat fizikal pun perlukan ilmu, apatah lagi untuk mengubah hati dan fikiran”

Teringat ungkapan yang saya tidak pasti sumbernya tetapi pengajarannya cukup tinggi. Kata-kata yang terpahat dalam ingatan sejak mula berjinak-jinak dengan aktiviti dakwah sejak di sekolah menengah dulu;

“Jika ada orang memberitahu gunung Uhud itu telah berubah, kamu boleh mempercayainya. Tetapi jangan percaya kalau dikatakan hati seseorang itu telah berubah sebelum kamu melihatnya sendiri.”

Saya bertanya kepadanya apabila melihat dia mula ‘slow’. Saya tahu itu satu soalan yang mengejutkan;

“Anak perempuan dan isteri awak menutup aurat?”

“Eh, awak ni. Apa awak ingat saya ni jenis cakap tak serupa bikin? Anak perempuan saya sejak kecil sudah menutup aurat. Begitu juga isteri saya. Ayah mentua saya seorang ustaz.”

“Bagaimana anak perempuan awak menutup aurat?”

“Saya didik dia. Saya beri ilmu. Saya latih dan bimbing.”

“Dengan kasih sayang atau kasar?”

Akuinya terus terang;

“Siapa tak sayang anak?”

Dengan saya berkata kepadanya;

“Tahniah. Saya pasti awak tidak akan gunakan perkataan gila, kafir dan sebagainya kepada anak awak dalam usaha mendidiknya supaya menutup aurat bukan?”

Dia diam. Kali ini diam yang panjang. Saya kira, dia sudah sedar pengakuannya secara tidak sedar mengakui apa yang saya katakan sejak tadi.

“Seorang pendakwah mesti menyayangi orang yang diserunya seperti seorang ayah menyayangi anaknya justeru bahasanya lembut, tegas tetapi tidak keras, memujuk bukan mengutuk. Menanam rasa bersalah bukan rasa dipersalahkan dalam hati orang yang diserunya.”

“Saya setuju. Tetapi jika mereka di tahap kedegilan melampau takkanlah kita hendak guna bahasa yang lemah lembut juga. Pada saya hikmah itu bukannya sentiasa berlemah lembut. Ada kalanya perlu keras dan tegas.”

“Hikmah kita merujuk kepada al-Quran dan sunnah. Ingin saya sampaikan satu kisah yang ada kaitan dengan apa yang kita bincangkan sekarang?”

Dia mengangguk. Akur. Lalu saya menceritakan kisah Nabi Musa dan Nabi Harun menasihati Firaun seperti diungkapkan dalam al-Quran;

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melewati batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut.”Surah Taha 20: 43-44

Saya lanjutkan pula dengan kisah Khalifah al-Makmun Ibn Harun al-Rasyid yang didatangi oleh seorang pendakwah yang mengkritiknya dengan bahasa yang keras dan pedas lalu Khalifah al-Makmun menjawab;

“Nasihatilah aku dengan sopan kerana Firaun itu lebih jahat daripada aku dan Nabi Musa itu lebih baik daripada kamu. Namun Nabi Musa menggunakan bahasa yang baik untuk menasihati Firaun.”

Kisah itu membuktikan pada hati seorang pendakwah yang ingin menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran perlu sentiasa ada bisikan: Dia bukan Firaun dan kau bukan Nabi Musa!

Kita jangan menghina pendosa seolah-olah kita tidak pernah berdosa. Tetapi kita menyeru, menegur dan mengingatkan pendosa kerana kita sendiri pernah merasai kepahitan, keperitan dan keresahan hati akibat dosa.

Kita mesti menyayangi mereka seperti kita sayang akan anak-anak kita bahkan diri sendiri. Kali ini, saya pula yang meluahkan kata secara bertubi-tubi.

Tiba-tiba dia akui;

“Ya… ya. Saya rasa ayat awak, tutup aurat supaya selamat lebih baik daripada ayat saya, dedah aurat akan dilaknat,”

Kali ini saya pula ketawa. Saya memegang bahunya erat-erat. Itulah bahasa tubuh untuk menghantar isyarat bahawa saya ingin rapat, menyayangi dan memahaminya. Tidak ada siapa yang menang kecuali kebenaran.

“Saya akan mengubah tanggapan terhadap wanita yang mendedahkan aurat. Mereka perlu dikasihani dan disayangi, bukan dikutuk dan dibenci.”

“Ya, marilah kita perangi kejahilan dan kedegilan dengan senjata, senjata yang paling mujarab, iaitu kasih sayang.”

Kami ketawa. Ketawa yang akhir ini lebih bermakna dari ketawa-ketawa kami sebelumnya kerana kali ini kami ketawa bersama-sama!

(Sumber: Tazkirah.net oleh Ustaz Pahrol Mohamad Juoi)

Komen


Berita Berkaitan