Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

‘Dia ada hak dapat keadilan’- Jangan hukum Awie

awie

AMPANG: Mahkamah Majistret, di sini, semalam menasihatkan semua pihak supaya tidak memberikan komen atau mengeluarkan sebarang kenyataan di media berhubung kes penyanyi dan pelakon popular, Awie yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya, Rozana.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menyatakan demikian selepas peguam Hazman Harun yang mewakili Awie membuat permohonan mahkamah bagi memastikan kes anak guamnya dibicarakan secara adil berikutan banyak komen dan perbincangan di media massa dan elektronik berhubung kes itu.

Ayuni dalam penghakimannya berkata, bagaimanapun media bebas melaporkan perjalanan kes sepanjang prosiding sehingga selesai.

Terdahulu, Hazman berkata, sejak Awie dituduh pada 4 Julai lalu, pelbagai pihak membincangkan di media massa dan media elektronik yang menyentuh mengenai kes dalam mahkamah termasuk merit dan kesalahan yang dipertuduhkan.

“Malah, terdapat juga pihak-pihak menyiarkan gambar yang amat memprejudiskan anak guam yang mana semua perkataan itu dianggap boleh mengganggu perbicaraan.

“Kami sudah mengemukakan salinan gambar dan dokumen berkenaan kepada mahkamah,” katanya. Katanya, walaupun tertuduh seorang selebriti dan orang ramai mempunyai hak untuk membincangkan hal peribadinya, namun dia juga mempunyai hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

“Pertuduhan yang dihadapi anak guam saya itu perlulah dibuktikan, bukan melalui blog atau di akhbar,” katanya. Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene tidak membantah permohonan itu dan menyerahkan perkara itu atas budi bicara mahkamah. Mahkamah kemudian menetapkan 23 September ini untuk pengurusan semula.

Sebelum ini, pada 4 Julai lalu, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan dihadapinya.

Mengikut pertuduhan, dia yang pernah menjadi pelakon utama filem Sembilu itu didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Rozana, 36, jam 1.30 petang pada 2 Jun lalu di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang, di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun penjara dan denda jika disabit kesalahan.

Komen


Berita Berkaitan