Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,645

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Dewan: Pengeluaran Minyak, Gas Di SB331, SB332 Dimulakan Jika Hasil Kajian Positif – KM Sabah

6:13pm 25/11/2015 Pak Roshan 215 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

pelantar

KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman berkata proses pengeluaran minyak di dua blok di pantai timur Sabah yang kerajaan negeri ada pegangan akan dimulakan sekiranya kajian seismik dan kerja berkaitan di kawasan berkenaan didapati positif.

Beliau berkata pada masa ini M3energy Berhad, syarikat eksplorasi milik kerajaan negeri sedang dalam fasa penerokaan awal dengan Sapura Kencana di dua blok berkenaan iaitu SB331 di Sandakan darat dan SB332 di bawah 331 meliputi Lahad Datu dan Tawau.

“Jika keputusan ujian adalah positif maka kami akan mengambil langkah seterusnya iaitu proses pengeluaran minyak dan gas di kawasan tersebut,” kata Musa yang juga Menteri Kewangan ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Jeffery Kitingan (Star-Bingkor) dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini hari ini.

Musa berkata M3enery Berhad juga kini dalam peringkat akhir rundingan dengan Petroleum Nasional (Petronaa) untuk membangunkan SB305 iaitu di perairan Sandakan yang mempunyai gas.

Katanya pelan pembangunan SB305 adalah untuk membawa gas ke Sandakan untuk pembinaan sebuah loji janakuasa 385MW bagi tujuan pembekalan elektrik di Sandakan.

Menurut Musa, M3energy juga sedang dalam perbincangan aktif dengan Mitra Energy yang memiliki blok Philippines SC56 berdekatan dengan blok SB305 yang mempunyai simpanan minyak besar dan berpotensi.

Katanya kerajaan negeri komited untuk meneroka dan membawa gas asli ke Sandakan bagi menampung bekalan gas dari SB305.

“Saya yakin dan percaya ia akan membuka ruang dan peluang yang besar untuk menjadikan Sandakan sebagi lokasi strategik bagi pembangunan aktiviti-aktiviti berkaitan gas seperti Pengeluar Tenaga Bebas (IPP), baja urea, diesel dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya kerajaan negeri sedar loji kuasa di pantai timur Sabah kini dijana oleh bahan api diesel yang sememangnya mahal berbanding gas dan menurutnya bekalan gas bagi menggantikan diesel akan menurunkan kos penjanaan kuasa dengan ketara dan signifikan.

Terdahulu ketika menjawab soalan Datuk Au Kam Wah (BN-Elopura), Musa berkata kaji selidik minyak mentah dan gas yang sedang dijalankan di kawasan Pantai Timur Sabah masih pada peringkat penilaian awal dan kajian itu dikhususkan kepada medan berisiko tinggi dan penerokaan batas baharu yang melibatkan formasi geologi yang lebih rumit.

Katanya sebarang keputusan oleh Petronas untuk membangunkan kawasan itu akan juga mengambil kira pelbagai faktor termasuk ancaman keselamatan, faktor alam sekitar seperti terumbu karang, landskap laut dan flora dan fauna marin serta impak sosioekonomi kepada penduduk setempat.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan